Kes dera kanak-kanak kian membimbangkan

Harian Metro - - Minda - Penulis Timbalan Pendaftar Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia

Peningkatan mendadak kes penderaan kanak-kanak sejak kebelakangan ini wajar mencemaskan dan membimbangkan kita. Boleh dikatakan hampir setiap hari ada saja laporan kes terbaru penderaan kanak-kanak di negara kita.

Walaupun kes penderaan kanak-kanak bukan isu baru dalam masyarakat, namun itu bukan alasan untuk kita membiarkan ia berlarutan apatah lagi ketika kes seperti ini sedang menunjukkan trend meningkat.

Tatkala kita masih terkejut dengan kematian seorang kanak-kanak akibat tindakan seorang bapa bersama ibu tirinya di Port Dickson yang dilaporkan mendera anak kandungnya dengan pelbagai kaedah termasuk hukuman ala komando, kita dikejutkan pula dengan satu lagi kes penderaan di Kuala

Terengganu di mana empat beradik berusia lima hingga sembilan tahun dikesan mempunyai pelbagai kesan kecederaan kerana menjadi mangsa dera akibat dipukul bapa tiri menggunakan rotan.

Banyak lagi kes seperti ini yang telah dilaporkan media sebelum ini, ada yang sudah dijatuhkan hukum dan ada yang sedang didakwa.

Dari segi keadaan mangsa penderaan pula, ada yang sudah meninggal dunia dan ramai yang mengalami pelbagai kecederaan serius termasuk kecacatan kekal sepanjang hayat.

Malah kita khuatir banyak lagi kes seperti ini mungkin sedang berlaku di seluruh negara, tetapi tidak dilaporkan oleh mana-mana pihak kerana takut atau malu.

Tak kiralah anak kandung, anak tiri mahupun anak yang kita jaga di pusat asuhan, satu saja persoalan - ke mana hilangnya nilai kemanusiaan dalam diri mereka ini?.

Kenapa begitu mudah melepaskan geram dan rasa marah kepada anak kecil yang tidak mampu membalas mahupun berbuat apa-apa.

Malah melihat kepada senario penderaan membabitkan bapa atau ibu kandung pula, penulis mula tertanya-tanya apakah kata-kata anak itu umpama kain putih dan ibu bapalah yang bakal mencorakkan masa depan mereka itu masih lagi relevan dalam masyarakat.

Tidak keterlaluan untuk dikatakan masyarakat kita semakin tenat kerana sudah dan sedang terpalit dengan begitu banyak masalah sosial seperti ini.

Tatkala kerajaan mula mencorak pelbagai hala tuju dan pelan tindakan untuk generasi muda negara ini bagi mengambil alih tampuk pemerintahan bila tiba masanya termasuk melalui misi Transformasi Nasional 2050 (TN50), kita dikejutkan dengan berita sedih seperti ini.

Jika kes penderaan dan kezaliman terhadap anak-anak terus dibiarkan berlarutan, percayalah negara bakal menghadapi masalah ketandusan dan kepupusan bilangan anak muda yang berkaliber dan berpotensi untuk digilap menjadi pemimpin masa hadapan.

Jadi semua pihak perlu bersatu hati untuk katakan tidak kepada perlakuan penderaan kanak-kanak dalam apa jua keadaan dan dengan apa jua alasan sekalipun.

Ironinya walaupun hukuman yang ada boleh dikatakan agak setimpal, namun kes penderaan tetap terus meningkat.

Mereka yang mendera kanak-kanak sama ada secara fizikal atau mental bakal berdepan hukuman mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2016 yang memperuntukkan hukuman denda RM50,000 bersama hukuman penjara sehingga 20 tahun bagi kesalahan mendera, mengabaikan dan menganiaya kanak-kanak.

Jika membabitkan kematian mangsa dera pula, sudah semestinya berhadapan dengan Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati kepada pesalahnya.

Kita perlu banyak fokus kepada usaha mencegah kejadian penderaan berlaku dalam masyarakat kita daripada aspek pembetulan mahupun hukuman.

Umumnya kebanyakan kes dera berlaku dalam keluarga yang porak peranda dan bermasalah. Konflik rumah tangga terutama dilihat menjadi antara punca utama pasangan suami isteri melepaskan geram kepada anak.

Akibatnya anak yang tidak bersalah terus menjadi mangsa keadaan dan keadaan bertambah buruk apabila membabitkan bapa atau ibu tiri kerana perasaan darah daging itu mungkin sudah tidak ada kepada mereka.

Antara punca konflik keluarga ialah masalah ketidakserasian pasangan suami isteri, masalah kewangan yang menghimpit keluarga, masalah tekanan di tempat kerja dan juga masalah dadah membabitkan suami atau isteri.

Masalah dan konflik kekeluargaan ini perlu ditangani segera. Apa yang pasti generasi masa depan perlu dilindungi dan diselamatkan daripada terus menjadi mangsa penderaan.

Kita sangat berharap agar ibu bapa terutama pasangan muda jangan terlalu cepat bertindak mengikut perasaan.

Anak itu anugerah dan amanah Tuhan yang perlu dibelai, disayangi, dilindungi dan dididik menjadi manusia yang berguna kepada keluarga, agama, bangsa dan negara.

Jangan kita culas melaksanakan tanggungjawab ini. Ingat, keluarga dan pasangan suami isteri mana yang tidak ada masalah, apa yang penting kematangan kita dalam menangani segala tekanan dan masalah yang timbul.

Bincang dan carilah jalan penyelesaian terbaik. Jika perlu dapatkan bantuan kaunselor.

Penulis yakin langkah terbaik menangani masalah penderaan kanak-kanak ialah melalui pembentukan keluarga yang bahagia dan saling lengkap-melengkapi.

Untuk itu, kita mohon agar pihak berkuasa memperbanyakkan lagi kempen dan program pembentukan keluarga bahagia supaya ibu bapa lebih sedar tanggungjawab mereka.

Semoga dengan cara ini kita dapat mengurangkan dan akhirnya dapat menghentikan terus penderaan dan kezaliman terhadap kanak-kanak di negara kita.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.