Hanya mampu tengok rumah

 BNM sifatkan penawaran kediaman di negara ini tidak mampu beli

Harian Metro - - Setempat -

Bank Negara Malaysia (BNM) menyifatkan rumah di negara ini ‘tidak mampu dibeli’ dan Malaysia menghadapi kekurangan rumah mampu milik untuk memenuhi keperluan ramai.

Untuk mengatasinya, BNM menggariskan lima strategi termasuk memusatkan inisiatif perumahan mampu milik dan menubuhkan pangkalan data perumahan bersepadu dan pendaftaran pemohon untuk merancang dan memperuntukkan rumah mampu milik.

BNM juga mencadangkan halangan kos kepada perumahan mampu milik dikurangkan, memulihkan lembaran imbangan isi rumah dengan meningkatkan celik kewangan selain meningkatkan pasaran sewaan dengan mengukuhkan rangka kerja perundangan.

“Isu kemampuan untuk membeli rumah sebahagian besarnya disebabkan penawaran dan permintaan yang tidak sepadan serta pertumbuhan pendapatan yang lebih perlahan,” katanya dalam buletin suku tahunannya yang dikeluarkan, semalam.

BNM menganggarkan harga rumah mampu milik di negara ini ialah pada maksimum RM282,000 berdasarkan pendekatan beban kos perumahan.

“Bagaimanapun, median harga rumah sebenar ialah RM313,000 (pada 2016), jauh melepasi kemampuan kebanyakan isi rumah dengan pendapatan median isi rumah kebangsaan hanya RM5,228,” katanya.

Sepanjang 2016 hingga suku pertama 2017, hanya 24 peratus daripada pelancaran baru dijual pada harga RM250,000 atau kurang dan hanya 35 peratus isi rumah Malaysia yang mampu memilikinya.

Buletin itu juga menyebut sejak 2007 hingga 2016, harga rumah meningkat 9.8 peratus manakala pendapatan isi rumah hanya meningkat 8.3 peratus.

Kedudukan yang tidak seimbang itu paling ketara dari 2012 hingga 2014 apabila pertumbuhan harga rumah (26.5 peratus) meningkat lebih sekali ganda daripada tahap pertumbuhan pendapatan (12.4 peratus).

Susulan penawaran dan permintaan yang tidak sepadan itu, BNM berkata, tahap jumlah hartanah kediaman yang tidak terjual di Malaysia mencatat paras tertinggi dalam tempoh sedekad, dengan 146,497 unit pada suku kedua (Q2) 2017, berbanding 130,690 unit pada suku yang sama pada tahun sebelumnya.

Bank Pusat juga berkata, pembiayaan terus disediakan untuk pembelian rumah bagi peminjam yang layak, dengan lebih daripada 70 peratus pinjaman perumahan diberikan kepada pembeli kali pertama dan hampir dua pertiga daripada pinjaman perumahan baharu disalurkan kepada pembelian rumah berharga kurang daripada RM500,000.

FAKTA Harga rumah meningkat 9.8 peratus manakala pendapatan isi rumah hanya meningkat 8.3 peratus

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.