Datuk kes tipu RM600,000 di tahan reman sekali lagi

Harian Metro - - Setempat -

Kuala Lumpur: Individu bergelar Datuk yang sebelum ini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya kerana terbabit penipuan Projek Perumahan Mampu Milik 1Malaysia, ditahan reman sekali lagi di IPD Dang Wangi bermula semalam berhubung satu lagi kes tipu membabitkan kerugian RM600,000.

Suspek yang juga bekas Pengerusi Koperasi Pembangunan Hartanah Putrajaya Berhad direman selama tiga hari berkaitan laporan mangsa dibuat mangsa di IPD Dang Wangi pada April 2014.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah berkata, menerusi aduan yang diterima, mangsa ditawarkan untuk menyertai Projek Perumahan Mampu Milik 1Malaysia di Baling, Kedah oleh suspek pada November 2013.

Katanya, suspek kemudian meminta mangsa membuat bayaran bon prestasi RM600,000 yang kemudian dibayar menerusi bank draf.

“Kerana percaya, mangsa menyerahkan dua keping bank draf bernilai RM200,000 dan RM400,000 kepada suspek pada 29 November 2013.

“Pada Disember 2013, mangsa membuat semakan dengan Pejabat Tanah Daerah Baling dan dimaklumkan tapak tanah yang dinyatakan suspek adalah milik kerajaan negeri serta tiada permohonan untuk membangunkannya sebagai kawasan perumahan,” katanya, semalam.

Shaharudin berkata, mangsa kemudian berjumpa semula dengan suspek dan meminta wang yang dibayar itu dikembalikan semula.

“Dalam pertemuan itu, suspek berjanji untuk memulangkan wang mangsa dalam tempoh 60 hari, namun sehingga kini mangsa tidak memperoleh wang berkenaan,” katanya.

SHAHARUDIN

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.