Suasana terkawal, tenang

Harian Metro - - Setempat - Junaidi Ladjana news@nstp.com.my

 ESSCOM kekal formasi kawalan keselamatan di laut, darat

Walaupun keadaan keselamatan di Pantai Timur Sabah terkawal dan dalam keadaan tenang, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) tidak pernah sunyi daripada operasi bagi mengekang apa juga ancaman di perairan serta daratan.

Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali berkata, pihaknya masih mengekalkan tahap formasi yang ada sekarang di samping penambahbaikan dari semasa ke semasa.

“Berdasarkan kekuatan dan aset yang kita ada, alhamdulillah setakat ini tahap keselamatan di ESSCOM terkawal dan tenang. Masyarakat pun tahu, kali terakhir penculikan berlaku pada Disember 2016 dan sepanjang tahun 2017 hingga kini, tiada lagi insiden penculikan.

“Begitu juga keadaan di Kampung Tanduo terkawal dan ia ditutup dengan hanya menempatkan pos kawalan pasukan keselamatan,” katanya dalam temu bual bersama NSTP sempena lima tahun pencerobohan pengganas Sulu di pejabatnya, baru-baru ini.

Hazani berkata, walaupun secara umumnya keadaan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) tenang, ESSCOM bagaimanapun tidak duduk diam.

“ESSCOM ada tiga operasi utama setiap hari iaitu operasi bersepadu membabitkan gabungan antara agensi keselamatan serta penguat kuasa tempatan yang dijalankan dengan dikoordinasi daripada ESSCOM.

“Kita bukan saja fokus kepada pendatang asing tanpa izin (PATI), malah apa saja kesalahan yang berlaku di depan mata, kita ambil tindakan,” katanya.

Katanya, operasi kedua iaitu Op Gasak pula memfokuskan kawasan tertentu manakala operasi ketiga, Op Gasak Laut di kawasan perairan timur Sabah.

“Op Gasak Laut dilaksanakan dari Sandakan, Lahad Datu, Semporna, Tawau dan berakhir di Kundat pada Disember lalu dengan fokus terhadap kumpit dan bot yang berada di tengah laut serta penempatan haram di pulau terpencil,” katanya.

Hazani berkata, antara cabaran paling utama dihadapi ESSCOM ialah sempadan Sabah yang begitu dekat dengan Filipina dan Indonesia.

“Di laut kita bersempadan dengan Filipina dan darat pula bersempadan dengan Indonesia. Ia meliputi 1,733.7 kilometer dari Kudat ke Tawau. Inilah kesempatan yang diambil pihak tertentu untuk melakukan jenayah rentas sempadan termasuk penculikan.

“Kita tidak dapat mengawal sepenuhnya. Bagaimanapun kita cuba yang terbaik untuk mengekang daripada berlakunya jenayah rentas sempadan,” katanya.

Beliau juga menggesa masyarakat setempat sentiasa bekerjasama memberi maklumat dan jangan takut untuk menyampaikan apa saja maklumat kepada ESSCOM untuk penilaian dan tindakan.

“Ini kerana tanpa sokongan masyarakat, ESSCOM tidak dapat bergerak. Objektif kita sama iaitu kita memerlukan keselamatan dan keamanan supaya masyarakat setempat khususnya di pantai timur negeri ini dapat bergerak bebas, ekonomi dan kehidupan harian berjalan lancar.

“Bagi mendekati penduduk tempatan, ESSCOM menggerakkan program Semarak Rakyat. Kita turun ke bawah bersama masyarakat dan menerangkan apa yang perlu diketahui masyarakat mengenai ESSCOM,” katanya.

Mengenai usaha menempatkan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di ESSZONE yang berperanan sebagai barisan pertahanan kedua, Hazani berkata, pihaknya mengalu-alukan anggota RELA untuk bersama ESSCOM dalam penugasan di ESSZONE.

“Kita mengalu-alukan kerana anggota RELA ini orang tempatan dan memang kita perlukan orang tempatan bersama kita, sekali gus menjadi mata dan telinga kepada ESSCOM dalam membantu pasukan keselamatan menangani apa juga jenayah,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.