Datuk hadapi 93 tuduhan

Harian Metro - - Rangkuman - Iskandar Shah Mohamed iskandar@hmetro.com.my

 Ahli perniagaan, lima tertuduh nafi tipu tuntut kos pengangkutan

Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas 93 pertuduhan menipu sebuah syarikat dengan membuat tuntutan kos pengangkutan palsu membabitkan kerugian RM505,750 sejak 2008.

Tertuduh, Datuk R Shanmugam, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan

Hakim Adli Abd Ghalib.

Semua kesalahan itu dilakukan secara berasingan bersama lima tertuduh lain iaitu seorang wanita, Yap Siew Hiong, 46, selain P Sugumaran, 50, C Karrupiah, 41, V Murugesu, 55, dan M Kanesan, 38.

Mereka membabitkan pengurus besar dan pengarah urusan tiga syarikat berbeza, selain seorang pekerja pembekal logistik dan pengangkutan turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan, Shanmugam bersama semua tertuduh didakwa menipu pegawai dan kakitangan Panasonic Appliances Air Conditioning Malaysia Sdn Bhd (PAPAMY) bagi mempercayai tuntutan kos pengangkutan dalam invois adalah tulen sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang sebagai bayaran tuntutan itu.

Ia membabitkan bayaran melalui invois kepada lima syarikat iaitu Marin Teguh Inspection (M) Sdn

Bhd, WLS Container Lines Sdn (M) Bhd, Green Valleys Resources, Tiban Enterprises dan Pandan Cerah Sdn Bhd berjumlah RM1,600 hingga RM14,000 setiap satu.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di Persiaran Tengku Ampuan Seksyen 21, Shah Alam Industrial Site di sini, antara 17 April 2008 hingga 15 Mei 2014.

Justeru, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420,

Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda jika disabitkan kesalahan.

Shanmugam menghadapi tiga pertuduhan secara individu, selain menghadapi 46 pertuduhan secara bersama dengan Siew Hiong dan Sugumaran, 19 pertuduhan dengan Karuppiah, 18 pertuduhan dengan Kanesan dan tujuh pertuduhan dengan Murugesu.

Mahkamah menetapkan 26 Mac depan untuk sebutan semula kes.

ENAM tertuduh didakwa membuat tuntutan kos pengangkutan palsu RM505,750.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.