Pekerja kantin nafi dera anak perempuan

Harian Metro - - Rangkuman -

Taiping: Pekerja kantin kilang didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas dakwaan mendera anak perempuannya yang berusia enam bulan pada 2 Februari lalu.

Mohamad Amirul Asnil Mat Pandir, 21, didakwa melakukan perbuatan mendera sehingga mangsa, Nur Khayra mengalami pendarahan dalam otak.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di 82, Kampung

Paya Baru, Kamunting, di sini, kira-kira jam 3 petang, pada tarikh berkenaan.

Mohamad Amirul Asnil dituduh mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Che Noralashiken Abd Razak.

Pertuduhan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Safiyatun Ahmadun manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan kemudian memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh sebelum Mohamad Amirul Asnil meminta jaminan dikurangkan.

Hakim Che Noralashiken mengekalkan jaminan yang dicadangkan pihak pendakwaan dan menetapkan 21 Mac ini bagi sebutan semula kes.

MOHAMAD Amirul didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.