Geng Ayie 18 tumpas

 Kumpulan penjenayah curi motosikal lumpuh ditahan polis

Harian Metro - - Tengah - Faliq Lajim am@hmetro.com.my

Kegiatan sekumpulan penjenayah dikenali Geng Ayie 18 yang dikaitkan dengan aktiviti mencuri motosikal sejak setahun lalu di bandar raya ini berjaya ditumpaskan.

Kejayaan itu susulan penahanan lima suspek berusia antara 31 hingga 39 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes curi motosikal di beberapa kawasan di sini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, semua suspek ditahan pasukan Tindakan Khas Op Lejang menerusi beberapa operasi bermula 11 Februari hingga 12 Februari lalu.

Beliau berkata, tangkapan pertama terhadap suspek utama kumpulan itu yang dikenali sebagai ‘Ayie’ dibuat di tepi jalan pada jam 4 petang pada 11 Februari lalu di Seksyen 25, Seri Muda, di sini.

“Dengan penahanan itu serta hasil maklumat yang diperoleh daripada suspek utama, polis melakukan operasi dan berjaya menahan empat lagi ahli kumpulan itu di beberapa lokasi berbeza di Shah Alam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Himpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini, semalam.

Baharudin berkata, pihaknya turut merampas tujuh motosikal dan sebuah rangka motosikal pelbagai jenama antaranya Honda EX5, Yamaha LC135, dan Modenas Kriss.

“Semua nilai rampasan motosikal itu dianggarkan antara RM20,000 hingga RM28,000.

“Selain itu, kita turut merampas satu paket lutsinar dipercayai dadah jenis syabu seberat 0.25 gram, satu paip kaca untuk menghisap dadah serta tiga buah telefon bimbit,” katanya.

Baharudin berkata, modus operandi mereka ialah dengan mencuri motosikal secara solo atau berkumpulan tanpa mengira waktu di sekitar flat PKNS di Shah Alam dan ia dilakukan dalam tempoh tidak sampai lima minit.

“Apabila sasaran motosikal diperoleh, suspek akan membuka lampu besar hadapan dengan skru. Mereka kemudian mencabut wayar penghidup enjin dan menghidupkan enjin sebelum membawa lari motosikal yang dicuri.

“Motosikal yang berjaya dicuri akan dijual kepada pembeli dengan harga bermula RM100 mengikut jenisnya. Ada juga motosikal itu akan dileraikan sebelum komponen kenderaan itu dijual.

FAKTA

Polis merampas tujuh motosikal dan rangka motosikal pelbagai jenama

BAHARUDIN menunjukkan sebahagian daripada motosikal yang berjaya dirampas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.