Dijel 5 bulan curi lima unit CPU

Harian Metro - - Tengah -

Seorang banduan dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas pertuduhan memecah masuk sebuah pejabat dua kali dan mencuri lima Unit Pemprosesan Pusat (CPU).

Majistret Maizatul Munirah Abd Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap M Vikneswaran, 27, selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.

Tertuduh didakwa memecah masuk pejabat TSI Trading & Distribution Sdn Bhd di Jalan Shelly, Wangsa Maju, dan mencuri lima CPU itu.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu dua kali iaitu pada jam 6 petang (20 Oktober 2017) dan jam 8 pagi pada 23 Oktober 2017.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 457, Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurelynna Hanim Abd Halim memohon hukuman berbentuk pengajaran dikenakan terhadap tertuduh yang kini menjalani hukuman penjara lapan bulan atas kesalahan mencuri.

Mahkamah memerintahkan hukuman bermula dari tertuduh ditahan iaitu 19 Disember 2017.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.