Rohingya belum selamat untuk pulang

Harian Metro - - Global -

New York: Myanmar masih gagal menyediakan keadaan yang selamat untuk membolehkan 688,000 pelarian Rohingya pulang selepas melarikan diri susulan operasi ganas tentera enam bulan lalu, kata Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian, Filippo Grandi.

Pelarian Rohingya masih berlindung di beberapa kem penempatan di Bangladesh walaupun satu perjanjian dimeterai antara Bangladesh dan Myanmar untuk membolehkan mereka pulang ke kampung halaman di negeri Rakhine dengan selamat.

“Biar saya jelaskan, situasi tidak cukup kondusif untuk melaksanakan program penghantaran pulang secara sukarela pelarian Rohingya.

“Punca yang menyebabkan mereka melarikan diri juga masih belum ditangani.

“Kita juga masih belum melihat usaha untuk menangani isu hak asasi yang mereka hadapi serta masalah kewarganegaraan yang sudah berlarutan sejak sedekad lalu,” katanya pada mesyuarat Majlis Keselamatan menerusi sidang video dari Geneva.

Kerajaan Myanmar menganggap etnik Rohingya sebagai pendatang dari Bangladesh, sekali gus menafikan hak kewarganegaraan mereka, walaupun sudah tinggal di negara itu selama beberapa generasi.

Duta Amerika Syarikat ke PBB, Nikki Haley pula menggesa Majlis Keselamatan memastikan tentera Myanmar dipertanggungjawabkan atas kempennya terhadap etnik itu susulan dakwaan pembunuhan, membakar kampung, rogol dan penemuan kubur besar.

“Majlis mesti memastikan tentera bertanggungjawab dengan tindakan mereka dan menekan pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi untuk mengakui tindakan kejam ini berlaku di negaranya,” tegasnya.

PBB sebelum ini menuduh Myanmar melakukan pembersihan etnik dengan memaksa etnik Rohingya yang beragama Islam menjadi pelarian. - AFP

SEKUMPULAN pelarian

Rohingya membawa bekalan bantuan di sebuah

kem penempatan di Kutupalong di Ukhiya, Cox's

Bazar, Bangladesh. - EPA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.