Dari jauh dah bau busuk

Harian Metro - - Tengah -

Hulu Langat: Dari jarak 200 hingga 300 meter sudah terbau air busuk yang mengalir ke dalam sebuah tasik di Taman Pinggiran Delima, di sini, akibat pencemaran yang dikatakan berpunca daripada saliran tapak pembuangan sampah yang terletak berhampiran kawasan perumahan itu.

Menurut penduduk di situ, Mohd Azmi Abdul Aziz, 39, kawasan itu dulunya adalah lokasi pembuangan sampah yang sudah ditimbus dengan tanah, malangnya di bawah timbunan itu wujud mata air yang menyebabkan ia bertakung sehingga mengalir ke longkang dan kemudian memasuki tasik.

“Masalah pencemaran itu baru seminggu berlaku, tetapi bau busuk sudah dua tiga bulan. Sebelum ini, bau air itu lagi busuk tetapi selepas pihak MPKJ (Majlis Perbandaran Kajang) memasang tawas dan kapur dalam tasik, bau itu agak berkurang tetapi ia tetap tidak menyelesaikan masalah dan bimbang akan mendatangkan risiko pelbagai penyakit.

Seorang lagi penduduk yang juga pesara tentera, Mohd Roslan Md Shir, 62, berkata, sejak dia tinggal di kawasan perumahan itu pada 1999, sudah banyak kali masalah tapak pembuangan sampah itu dilaporkan pada pihak terbabit.

“Apabila laporan dibuat, ada yang menutup kawasan pembuangan sampah itu, tetapi tapak lain pula dibuka,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Pertubuhan Gagasan Prihatin Semenyih, Hamdan Abu berkata, beberapa minggu lalu dia menerima aduan penduduk di kawasan itu berkaitan masalah terbabit yang berpunca daripada tapak pelupusan sampah yang ditutup oleh MPKJ.

MOHD Roslan menunjukkan tasik yang berbau busuk.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.