TANGAN ISTIMEWA TAHUN BARU CINA

Harian Metro - - Muka Depan - Mahaizura Abd Malik mahaizura@hmetro.com.my

“Selama ini hidup saya macam ada satu kekurangan sebab semuanya terbatas dan perlu dilakukan dengan tangan kiri.

“Tetapi sambutan Tahun Baru Cina kali ini amat bermakna sekali kerana akhirnya saya dapat semula ‘tangan kanan’,” kata Hew Poh, 67, warga emas kudung pergelangan tangan kanan yang menerima hadiah tangan elektronik cetakan tiga dimensi daripada anaknya, Isnin lalu.

Menurut Hew, kehidupannya sebagai orang normal berubah 360 darjah selepas terbabit dalam kemalangan di tempat kerja apabila tangan kanannya digilis mesin cetak besi di sebuah kilang besi di Johor Bahru pada 2012.

“Doktor menasihatkan tangan saya perlu dipotong separas pergelangan kerana semua jari sudah hancur.

“Selepas kejadian itu, saya berhenti kerja kerana tidak mampu melakukan pekerjaan dengan tangan kiri dan kerap mengalami keletihan.

“Walaupun tangan ini cuma robot, namun saya bersyukur sekurang-kurangnya saya dapat semula 50 peratus keupayaan macam tangan normal berfungsi,” katanya.

Menurutnya, Tahun Baru Cina kali ini disambut meriah kerana dia turut sama membantu ahli keluarganya membuat persiapan selepas tidak berpeluang melakukannya sebelum ini.

Sementara itu, menantunya, How Siew Chen, 34, berkata, dia dan suaminya, Hew Kok Kiong, 37, sepakat menghadiahkan tangan Delta Bionic-EXIII buat bapa mentuanya itu selepas tertarik dengan idea Sujana Mohd Rejab yang mereka cipta tangan elektronik cetakan tiga dimensi bagi membantu golongan orang kurang upaya.

“Kami menempah tangan ini kira-kira dua bulan lalu kerana kasihan melihat keadaan ayah tanpa tangan kanan.

“Ia dihadiahkan sebagai tanda kasih kami kepada ayah supaya dia dapat menjalani hidup dengan lebih selesa.

“Kami lega sebaik melihat ayah begitu seronok dapat menulis dan memegang barang dengan ‘tangan baru’ itu,” katanya.

 Hadiah buat warga emas rai Tahun Baru Cina daripada anak menantu

HEW gembira terima tangan elektronik 3D sempena sambutan

Tahun Baru Cina.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.