JUTAWAN PENIPU CABUT

Harian Metro - - Muka Depan - Nurul Hidayah Bahaudin news@nstp.com.my

> Lelaki bergelar Datuk dan isterinya yang dikenal pasti dalang penipuan pelaburan tukaran mata wang asing sempat melarikan diri ke luar negara dengan kapal terbang, Ahad lalu.

Dalam beberapa serbuan sejak 10 Februari, polis merampas kenderaan mewah dan pelbagai barangan berharga daripada anggota sindiket. Dianggarkan lebih 70,000 menjadi mangsa dengan kerugian RM1 bilion, lapor Nurul Hidayah Bahaudin

 Pasangan suami isteri dalang penipuan forex lari ke luar negara berikutan siri serbuan polis

Lelaki bergelar Datuk dan isterinya yang dikenal pasti dalang penipuan pelaburan tukaran mata wang asing atau forex, bertindak melarikan diri ke luar negara selepas menipu wang mangsa berjumlah RM1 billion.

Pasangan terbabit, Datuk Pandeyan Maruthamuthu, 55, dan isterinya, Datin Gouri C Faskuny, 56, dipercayai melarikan diri ke negara jiran Ahad lalu dengan menaiki kapal terbang sebaik serbuan dilakukan polis.

Sehingga kini, polis menahan tiga individu bergelar Datuk yang terbabit dengan sindiket penipuan forex dalam serbuan berasingan di empat lokasi sekitar pusat bandar ini pada 10 Februari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, semua suspek berusia 35 hingga 49 tahun itu ditahan selepas pihaknya menerima 116 laporan membabitkan kerugian berjumlah RM6.2 juta yang dilaporkan di seluruh negara berhubung kegiatan sindiket berkenaan.

“Dalam serbuan itu, kami merampas 13 kereta mewah, tiga motosikal berkuasa tinggi, 10 keping emas seberat 100 gram setiap satu, pingat penganugerahan Datuk, pelbagai dokumen dan beg serta jam tangan berjenama.

“Sebanyak 116 laporan diterima sejak Ogos 2016 hingga Februari 2018 membabitkan kerugian RM6.2 juta berhubung kegiatan sindiket itu dengan 30 kertas siasatan dibuka.

“Kami menganggarkan lebih 70,000 mangsa dengan kerugian RM1 billion terbabit dengan sindiket itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis JSJK Bukit Aman, di sini, semalam.

Katanya, pihaknya turut membekukan 38 akaun bank milik 17 individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket itu berjumlah RM624,000.

“Kami turut membekukan aset iaitu banglo bernilai RM5 juta milik seorang suspek dan sebuah kereta mewah Ferrari dianggarkan bernilai RM1.5 juta.

“Semua aset dan barangan dirampas serta dibekukan dalam kes itu dianggarkan bernilai RM10.5 juta,” katanya.

Amar berkata, modus operandi sindiket dipercayai aktif sejak 2013 itu adalah mempromosikan pelaburan berkenaan melalui laman sesawang dengan menawarkan pulangan lumayan 12 peratus setiap bulan.

“Suspek memperdaya mangsa supaya membuat pelaburan perniagaan berkonsepkan pertukaran mata wang asing atau forex dengan mengadakan seminar di hotel.

“Malah, suspek juga menggunakan syarikat berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) selain membabitkan penganjur atau pengurusan atasan yang bergelar Datuk,” katanya.

AMAR menunjukan gambar dua suspek yang diburu polis pada sidang media, semalam.

AMAR melihat kereta mewah yang dirampas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.