39 kru terjun ke laut

Harian Metro - - Setempat -

Miri: Seramai 39 kru kapal sokongan cari gali minyak, MV Ocean Geos nekad terjun ke laut bergelora untuk menyelamatkan diri selepas kapal dinaiki terbakar di perairan Kuala Baram di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, semua kru berkenaan bekerja di atas dek kapal ketika bilik enjin tiba-tiba meletup lalu terbakar sebelum merebak ke seluruh bahagian kapal.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Miri Kapten Md Fauzi Othman berkata, 38 kru diselamatkan beberapa kapal berhampiran mereka yang bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima isyarat kecemasan, manakala seorang lagi mangsa masih hilang.

Katanya, daripada jumlah keseluruhan mangsa yang terselamat, dua kru iaitu Muhammad Hafiz Ismail, 36, melecur 20 peratus pada bahagian badan dan Khairul Isma Ismail, 35, luka pada muka.

“Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan. Maritim Malaysia melancarkan gerakan mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi kru yang masih hilang.

“Dua kapal peronda kami, masing-masing Penggalang 23 dan KM Siakap diatur gerak ke lokasi kejadian bagi membantu usaha pencarian, selain turut dibantu dua kapal lain, Hisyam 8 dan Neoptro 18,” katanya ketika sidang media di sini, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.