KWSP salur RM114.56 bilion kepada pengurus portfolio luaran

Harian Metro - - Bisnes -

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyalurkan RM114.56 bilion kepada pengurus portfolio luaran setakat 31 Disember 2017, meningkat 9.80 peratus berbanding RM104.37 bilion pada 2016.

Jumlah berkenaan yang dilaburkan dalam ekuiti dan instrumen pendapatan pelaburan tetap, mewakili 14.5 peratus daripada keseluruhan jumlah pendapatan pelaburan KWSP.

Pengerusi KWSP Tan Sri Samsudin Osman berkata, kumpulan dana persaraan itu akan terus menyalurkan sebahagian dana sebagai inisiatif mempelbagaikan pelaburan dengan pengurus dana luaran yang berilmu dan berkemahiran.

“Inisiatif ini juga bertindak sebagai pelengkap kepada pengurusan dana dalaman kami.

“Kami akan terus meningkatkan pendedahan dalam pasaran pelaburan kami, terutama dalam pelaburan alternatif dan infrastruktur. Bagaimanapun, peningkatan ini akan dilakukan secara berperingkat dan berhemah berikutan pasaran yang tidak menentu dan pertumbuhan yang lemah,” katanya dalam Majlis Anugerah Tahunan Pengurus Portfolio Luaran 2018 di sini, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.