Harian Metro

Cabaran pandu arah pendaki pekak, bisu

-

Ranau: Tugas sebagai malim gunung kepada individu normal mungkin biasa, namun apabila ditugaskan menjadi pemandu arah kepada golongan pekak dan bisu, ia satu cabaran berbeza.

Bukan saja terpaksa berkomunik­asi dengan bahasa isyarat malah malim gunung perlu memastikan pergerakan mereka sentiasa boleh dilihat oleh pendaki orang kurang upaya (OKU) bagi mengelak risiko sesat, cedera ataupun maut akibat terjatuh dari tempat tinggi.

Malim Gunung Kinabalu, Mohd Asrah Muslie, 25, berkata sejak menjadi malim gunung beberapa tahun lalu, sudah dua kali dia ditugaskan membawa pelancong asing yang pekak dan bisu mendaki puncak tertinggi di Malaysia itu.

Katanya, banyak yang dipelajari­nya terutama menggunaka­n bahasa isyarat asas untuk berkomunik­asi dengan kumpulan pendaki istimewa berusia lingkungan 30 hingga 65 tahun dari Taiwan, baru-baru ini.

“Pada mulanya, saya juga mengalami kesukaran berkomunik­asi dengan mereka namun mengejutka­n apabila mendapati mereka sebenarnya faham dan boleh membaca tulisan menggunaka­n bahasa Inggeris.

“Akhirnya saya dapat mempelajar­i bahasa isyarat menerusi tulisan itu dan memudahkan komunikasi dengan mereka selepas itu,” katanya.

Menurutnya, dia dan dua lagi rakan malim gunung, Razak Salleh, 30 dan Ibnor Mohd, 28, terpaksa mengikuti rapat dengan kumpulan berkenaan untuk mengelak mereka terpisah daripada kumpulan.

Katanya, sekiranya pendaki OKU itu tersasar dari laluan, mereka terpaksa mengejar dan menepuk belakang untuk memberi arahan kepada mereka.

“Komunikasi menerusi sentuhan antara kami amat penting. Sekiranya ada yang perlu disampaika­n, kami perlu menepuk bahu mereka sebelum menyatakan sesuatu. “Ekspedisi pendakian menjadi semakin menarik selepas itu. Sebaik tiba di pusat penempatan Laban Rata kira-kira jam 3 petang, kami menghabisk­an masa bersama untuk memperbaik­i cara komunikasi dengan mereka,” katanya.

Sementara itu, bagi Razak, keadaan diri tidak sempurna ternyata bukan penghalang untuk pendaki terbabit melakukan sesuatu yang dianggap mustahil.

Katanya, melalui ekspedisi itu, dia dapat melihat keupayaan golongan OKU sama seperti insan biasa untuk mendaki gunung walaupun secara logiknya mungkin berbahaya kerana banyak komunikasi diperlukan ketika dalam pendakian.

“Cabaran paling utama untuk kami ialah kesukaran berkomunik­asi dengan kumpulan pendaki itu dan lebih-lebih lagi sekiranya berlaku kejadian sesat atau kecemasan lain. Memang kami risau kerana pernah berlaku kes pendaki sesat, apatah lagi bagi kumpulan ini yang sukar untuk berkomunik­asi,” katanya.

Menurutnya, namun apa yang mengejutka­n pendaki yang terdiri daripada golongan OKU ini adalah antara kumpulan pertama yang awal berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu manakala ada pendaki normal yang tiba lebih lewat daripada mereka.

 ??  ?? SEKUMPULAN pelancong asing cacat pendengara­n dan bisu di Timpohon Gate sebelum memulakan pendakian.
SEKUMPULAN pelancong asing cacat pendengara­n dan bisu di Timpohon Gate sebelum memulakan pendakian.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia