Masalah enjin lima minit di udara

Harian Metro - - Setempat -

Sungai Petani: Pengemudi maut akibat lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Muda apabila enjin paramotor mengalami masalah ketika melakukan aktiviti itu di Dataran Dato Ali Yahaya di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, dalam kejadian jam 8 pagi, mangsa bersama rakannya menjalankan aktiviti itu seperti biasa di dataran berkenaan.

Katanya, bagaimanapun selepas lima minit berada di udara, enjin paramotor tiba-tiba mengalami masalah hingga menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam sungai.

“Penduduk kampung yang melihat kejadian itu cuba membantu dan menemui mangsa hanyut satu kilometer dari tempatnya dilihat terjatuh akibat dibawa arus sungai.

“Siasatan mendapati mangsa adalah ahli persatuan paramotor yang berdaftar dan mempunyai kelayakan serta mendapat kebenaran Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) untuk melakukan aktiviti itu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Adzli berkata, enjin paramotor itu akan dihantar ke agensi berkaitan untuk diperiksa bagi mengetahui masalahnya dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.