MELECUR BERSAMA

Harian Metro - - Muka Depan - Mohd Hilmie Hussin mohdhilmie@nstp.com.my

Bomba temui sebotol petrol, tilam rentung dalam kejadian pasangan kekasih terbakar

Lelaki dan wanita dipercayai pasangan kekasih kini separuh kritikal akibat melecur badan dalam kejadian kebakaran di rumah pangsa Taman Anika, Lorong Pandan di sini, kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian jam 10.30 malam itu, kedua-dua mangsa berusia 30-an berada dalam satu rumah sebelum kedua-duanya bertindak keluar dari rumah terbabit meminta bantuan, dalam keadaan badan yang melecur.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Kamarulzaman Mohd Din berkata, mangsa wanita melecur 60 peratus badan manakala lelaki pula 30 peratus dihantar ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka.

“Kedua-dua mangsa kini dirawat di zon merah di Hospital Melaka dan dalam keadaan separuh kritikal,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kamarulzaman berkata, berdasarkan maklumat yang diberikan jiran, kedua-dua mangsa mengetuk pintu seorang jiran yang juga sahabat kepada mangsa bagi mendapatkan bantuan.

“Berdasarkan siasatan, kita menemukan satu botol berisi petrol dan satu tilam rentung. Punca kejadian masih disiasat,” katanya.

Beliau berkata, seramai lapan anggota termasuk pegawai diketuai Komander Operasi Kanan, Timbalan Penguasa Bomba Kamaruddin Mustafa dari BBP Jalan Kubu, dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan jam 10.38 malam.

“Kami tiba di lokasi jam 10.46 malam dan berjaya mengawal kebakaran lapan minit sebelum operasi tamat jam 12 tengah malam,” katanya.

KEADAAN tilam rentung di kediaman lelaki dan wanita dipercayai pasangan kekasih yang melecur. SATU botol berisi petrol ditemui di kediaman mangsa.

KEDIAMAN mangsa di Taman Anika, Lorong Pandan, Melaka.

Kamarulzaman Mohd Din

Mangsa wanita melecur 60 peratus badan manakala lelaki pula 30 peratus, dihantar ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.