SYARIKAT JUAL TAPAK TAK WUJUD

MAEPS nafi lantik ejen jual tapak sempena MAHA 2018

Harian Metro - - Muka Depan - Mohamad Hussin cnews@nstp.com.my

Aura Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan menawarkan tapak perniagaan yang sebenarnya habis ditempah peniaga.

Difahamkan, syarikat terbabit membuka tawaran antara RM3,000 dan RM6,000 bagi tapak berkeluasan 10X10, 10X20 dan 20X20 lengkap kemudahan kerusi, meja, kipas dan plug bagi penganjuran MAHA2018 akan datang.

MAHA 2018 bakal berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang pada 22 November hingga 2 Disember depan anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Ketua Pegawai Operasi MAEPS Norafizah Rahman berkata, harga tapak jualan ditawarkan pihaknya antara RM3,500 dan RM5,000 setiap lot bergantung pada lokasi jualan.

Beliau berkata, maklumat yang tular menerusi media sosial adalah palsu kerana pihaknya tidak pernah melantik mana-mana pihak atau orang tengah menguruskan acara besar itu.

“Setakat ini, semua tapak jualan sama ada di dalam bangunan atau luar habis ditempah memandangkan acara ini bakal berlangsung beberapa minggu lagi.

“Kami menjelaskan MAEPS tidak pernah melantik mana-mana pihak menjalankan promosi atau pengagihan tapak jualan.

“MAEPS kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan, sekali gus mencemarkan nama MAHA 2018 serta MOA,” katanya, kelmarin.

Norafizah mengesahkan MAEPS menerima aduan mengenai kegiatan beberapa syarikat yang menawarkan perkhidmatan itu dan menasihatkan orang ramai khusus peniaga tidak mudah terpedaya.

Menurutnya, peniaga atau orang ramai boleh menghubungi Urusetia Sekretariat MAHA 2018 di talian 03-89382494 bagi mendapatkan kepastian atau sebarang pertanyaan.

Selain itu, wartawan Harian Metro turut mengikuti perkembangan aktiviti syarikat berkenaan yang menawarkan jualan tapak perniagaan kepada peniaga menerusi media sosial.

Hasil penelitian syarikat berkenaan menawarkan 31 tapak jualan (dalam khemah), 20 gerai jualan usahawan, 11 kendera saji dan 16 lot pavilion pada MAHA 2018.

Wartawan menyamar sebagai peniaga juga menghubungi syarikat terbabit untuk mendapatkan kepastian mengenai tapak jualan ditawarkan.

Wakil syarikat terbabit meminta wartawan memberikan butiran seperti nama penuh, nama syarikat, jenis dan gambar produk mahu dipasarkan menggunakan WhatsApp.

Butiran dihantar ditapis dan wakil syarikat menghubungi setiap permohonan yang berjaya serta perlu menjelaskan bayaran tertentu.

IKLAN tawaran jualan tapak MAHA 2018 yang tular dalam WhatsApp.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.