Belanja RM3 juta bagi setiap pesakit genetik

Harian Metro - - Setempat -

Kuala Lumpur: Kerajaan membelanjakan RM3 juta bagi rawatan setiap pesakit genetik, Thalassaemia Major yang dianggarkan kini berjumlah 7,848.

Angka berkenaan direkodkan sejak Januari hingga Ogos lalu dan dijangka meningkat kepada 200 pesakit setiap tahun sekiranya tiada usaha pencegahan lebih agresif dilaksanakan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, memandangkan kos rawatan seumur hidup bagi setiap pesakit adalah tinggi, pihaknya merangka usaha pencegahan lebih efektif.

“Sehingga Ogos lalu, 7,848 pesakit berdaftar dan 55 peratus daripada jumlah itu adalah mereka yang berusia 20 tahun manakala 16 peratus berusia 21 hingga 40 tahun.

“Sementara itu, daripada 7,848 pesakit itu,

2,670 pesakit bergantung kepada pemindahan darah dan ubat pengkelat zat besi seumur hidup.

“Sekiranya kita dapat menyaring penyakit lebih awal, pesakit boleh diberi kaunseling sebelum memutuskan mendirikan rumah tangga demi kebaikan keturunan akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sambutan Hari Kesedaran Thalassaemia Kebangsaan 2018 di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur di sini, semalam.

Program berkenaan mendapat kerjasama daripada REPSOL Oil and Gas sebagai tanggungjawab sosial korporat syarikat berkenaan.

Menurut Dzulkefly, pesakit perlu memanfaatkan sebaik mungkin rawatan dibekalkan kerajaan dengan memastikan kepatuhan kepada rawatan khususnya pengkelat zat besi.

“Adalah menjadi pembaziran wang rakyat sekiranya pesakit tidak mematuhi jadual penggunaan bekalan ubat.

“Hanya dengan cara ini, pesakit dapat membantu dirinya mengurangkan risiko komplikasi akibat deposit lebihan zat besi dalam tubuh,” katanya.

Sementara itu, 13,712 pelajar tingkatan empat di negara ini turut dikesan pembawa Thalassaemia.

Jumlah itu dikesan dalam kalangan 542,284 pelajar tingkatan empat yang melalui pemeriksaan program saringan penyakit berkenaan sejak Januari lalu.

PENGUNJUNG menderma darah sempena Sambutan Hari Kesedaran Thalassaemia Peringkat Kebangsaan 2018, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.