SPRM dijangka ambil tindakan terhadap Isa Samad

Harian Metro - - Setempat -

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka mengambil tindakan terhadap bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Samad dalam masa terdekat berhubung isu pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak pada 2014.

Difahamkan, kertas siasatan sedang disiapkan oleh pihak berkenaan berhubung isu pembelian hotel Istana Merdeka yang dilaporkan terlalu mahal serta melebihi nilai pasaran ketika pembelian dibuat.

Sumber berkata, siasatan kes itu sudah dijalankan SPRM sebelum ini serta dalam proses dikemaskinikan sebelum diserahkan kepada pejabat Peguam Negara untuk tindakan susulan dalam masa terdekat.

“Sebelum ini, bukti yang ada tidak mencukupi untuk mendakwanya disebabkan akses yang terhad namun siasatan diteruskan semula apabila bukti baru muncul.

“SPRM akan mengemukakan kertas siasatan yang lengkap kepada Jabatan Peguam Negara minggu depan sebelum menunggu arahan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan sumber lain pihak berkenaan juga sedang meneliti beberapa pertuduhan lain terhadap Mohd Isa mengikut Seksyen 23 Akta SPRM atas dakwaan penyalahgunaan kuasa.

Katanya, Peguam Negara, Tommy Thomas juga sudah diberi taklimat terperinci mengenai siasatan dan perancangan susulan siasatan ke atas kes berkenaan beberapa hari lalu.

Istana Merdeka adalah sebuah hotel bertaraf lima bintang yang memiliki 213 bilik, dibeli oleh FELDA Investment Corporation dengan harga RM160 juta walaupun nilai sepatutnya yang direkodkan adalah RM110 juta.

Mohd Isa yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan mengetuai FELDA sejak 2011.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.