Layan ibu macam pembantu peribadi

Harian Metro - - Selebriti -

Dua minggu lalu Cik

Pang meluangkan masa berkunjung ke studio penggambaran iklan seorang teman di pinggir ibu kota.

Laris betul tempahan diterima studio teman

Cik Pang. Mana tidaknya, dia menawarkan harga berpatutan berserta peralatan kelengkapan penggambaran terkini.

Dalam rancak berborak, rakan Cik Pang itu buka cerita mengenai sikap seorang penyanyi wanita baharu yang masih terkialkial membina nama.

Menurut teman Cik Pang, meskipun belum dikenali ramai tetapi sikap ‘diva’ penyanyi itu boleh tahan hebat.

Kata teman itu, penyanyi wanita berkenaan yang ditemani ibunya ternyata seorang anak yang sangat disayangi keluarga.

Bukan apa, serba-serbi kelengkapan dilakukan ibu tercinta dan penyanyi itu hanya perlu memberi arahan saja.

Nak pakaian, kasut, aksesori termasuk rakaman foto di telefonnya semua dibuat oleh ibunya sebaik saja menerima arahan.

Cik Pang yang mendengar cerita disampaikan teman itu hanya mampu geleng kepala. Maklumlah, belum lagi popular tetapi sikap penyanyi berkenaan terhadap ibunya umpama pembantu peribadi.

Apapun, sempat jugalah Cik Pang yang nakal ini membayangkan bagaimana sikap penyanyi wanita itu apabila dia sudah popular.

Mungkinkah juga dia akan terus memperlakukan ibunya sebegitu? Dalam soal ini, Cik Pang hanya boleh kata tunggu dan lihat saja.

Bagaimanapun, penyanyi wanita itu sepatutnya menjaga imejnya dan menjaga perlakuannya depan umum.

Kalau memang sudah terbiasa diasuh semua ibu yang buat, biarlah situasi itu hanya berlaku di rumah saja.

Namun, bila di luar terutama apabila terbabit dengan urusan kerja lebih baik ringankan tangan melakukan semua perkara sendiri.

Tidaklah nanti mengundang tanggapan negatif orang yang memandang selain dapat menjaga maruah serta air muka si ibu.

Bukanlah Cik Pang nak suruh hipokrit berlakon jadi baik tetapi sebagai anak ada eloknya kehadiran ibu dijadikan peneman bukannya pembantu.

Bagi Cik Pang, hargailah ibu selagi masih ada depan mata. Tenang dan gembirakan hatinya termasuk menjaga martabatnya.

Cik Pang sekadar memberi teguran, selebihnya tepuk dada tanya selera. Sesungguhnya harus diingat syurga bagi seorang anak adalah di bawah tapak kaki ibu tercinta.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.