Budak terselamat jatuh enam meter dalam lubang

Harian Metro - - Global -

Islamabad: Seorang kanak-kanak kecil terpaksa melalui satu pengalaman menakutkan apabila jatuh terperangkap di dalam lubang sedalam enam meter dengan diameter cuma 25 sentimeter selama empat jam sebelum berjaya diselamatkan.

Dalam kejadian Isnin lalu, mangsa, Muhammad Adeeb mengejar bola sebelum jatuh terperosok ke dalam lubang itu di sebuah kawasan pedalaman di Punjab, Pakistan.

Kejadian itu disaksikan sepupunya berusia empat tahun, Usama yang bergegas pulang mendapatkan bantuan.

Penduduk kampung cuba menyelamatkannya namun gagal memandangkan lubang terlalu sempit, menyebabkan mereka menghubungi anggota penyelamat yang mengambil masa empat jam untuk mengeluarkan mangsa.

Usaha menyelamat dilakukan penuh teliti bagi memastikan Muhammad Adeeb dapat dikeluarkan dengan selamat menggunakan paip plastik dan tali.

Gambar menunjukkan ahli keluarga serta penduduk kampung resah ketika melihat anggota penyelamat bertungkus-lumus menyelamat mangsa.

Suasana kemudian bertukar meriah apabila kanak-kanak yang diselaputi lumpur itu keluar sambil memeluk anggota penyelamat.

Bapanya, Muhammad Noman berkata, kejadian itu amat mencemaskan dan dia tidak dapat menggambarkan perasaan melihat anaknya di dalam lubang itu.

“Selepas diberitahu jiran, saya terus ke tempat kejadian dan melihat orang ramai berkumpul. Mereka memberi idea bagaimana untuk mengeluarkan anak saya dan kami mencubanya namun gagal.

“Kemudian mereka menghubungi talian bantuan dan anggota penyelamat mengambil masa lama untuk mengeluarkannya, tetapi anak saya berjaya diselamatkan.

“Saya terlalu takut kerana tidak dapat melihatnya di bawah tetapi apabila dipanggil dia menyahut. Kejadian itu sangat menakutkan namun saya bersyukur dia diselamatkan tanpa mengalami kecederaan,” katanya. Agensi

ANGGOTA penyelamat menggunakan paip plastik untuk mengeluarkan mangsa. - Agensi MUHAMMAD Adeeb yang diselaputi lumpur berjaya dikeluarkan selepas empat jam terjatuh dalam lubang. - Agensi

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.