HENTI PENCARIAN

Harian Metro - - Global - Reuters

„ Indonesia tak lagi cari mangsa nahas pesawat Lion Air,

namun tidak putus asa buru kotak hitam kedua

Pencarian mangsa nahas Lion Air yang mengorbankan semua 189 penumpang dan anak kapalnya dihentikan, namun usaha tetap dilakukan untuk mencari kotak hitam kedua, iaitu perakam suara kokpit, kata pihak berkuasa Indonesia.

Ketua agensi mencari dan menyelamat kebangsaan (BASARNAS) Muhammad Syaugi berkata: “Tiada lagi tempat untuk dilakukan pencarian, dan kami sudah berhenti mencari mayat. Kami mengehadkan operasi kepada pemantauan.”

Pesawat penumpang Boeing Co 737 MAX yang masih baharu itu terhempas ke dalam laut pada 29 Oktober lalu, hanya beberapa minit sejurus berlepas dari Jakarta dalam penerbangan ke pulau Bangka berhampiran Sumatra.

Syaugi berkata, 196 beg mayat mengandungi sisa mayat manusia ditemui, manakala 77 mangsa dikenal pasti selepas pemeriksaan forensik.

Pihak berkuasa memuat turun data satu daripada kotak hitam ditemui minggu lalu perakam data penerbangan - namun masih belum menemui perakam suara kokpit.

Soearjanto Tjahjono, ketua jawatankuasa keselamatan pengangkutan (KNKT) berkata, penemuan perakam suara itu amat penting bagi memahami punca nahas.

“Daripada data kotak hitam, kami kini mengetahui 70 hingga 80 peratus apa yang berlaku, namun untuk memahaminya kami perlu mengetahui perbualan penuh yang berlaku dalam kokpit pesawat,” katanya.

Dia bagaimanapun enggan mengulas apa didedahkan perakam data penerbangan berkenaan.

KNKT menggunakan pengesan ping dan peralatan yang mampu menyedut selut dalam usaha pencarian berkenaa, selain kenderaan bawah air berkamera yang dikawal secara jauh.

Soearjanto berkata, ada kebimbangan perakam suara kokpit rosak dihentam ketika nahas kerana KNKT masih tidak mengesan sebarang bunyi ‘ping’ yang dapat mengenal pasti lokasinya seperti dengan kotak hitam pertama.

Katanya, pihak berkuasa mencari 15 bahagian pesawat termasuk pengesan yang membantu komputer kapal terbang mengenal pasti sejauh mana ia stabil. Menurut penyiasat, satu daripada pengesan itu memberikan data salah.

KNKT memberitahu Reuters, Rabu lalu, ada masalah dengan pengesan berkenaan ketika penerbangan pesawat itu sebelumnya dari Bali ke Jakarta.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.