Pesona Fesyen

Semarak Gaya Kombinasi Warna

Jelita - - Muka Depan -

Lynda Rahim Kuala Lumpur, nama yang cukup sinonim dengan rekaan busana perkahwinan moden, anggun dan kontemporari. Pemiliknya, Datin Lyndawati Kamaruddin, 39, atau lebih dikenali sebagai Datin Lynda Rahim, bercerita mengenai kisah bermula kerjayanya sebagai pereka fesyen.

Siapa sangka, watak Jeannie yang dibawa oleh Barbara Eden di dalam I Dream of Jeannie sedikit sebanyak telah mempengaruhi Lynda untuk menjadi pereka fesyen. Dia meminati watak Jeannie sejak kecil dan sentiasa beranggapan setiap gaya yang dibawa ahli sihir yang baik hati itu akan membuatkan dirinya juga kelihatan menawan. Walaupun tiada ahli keluarga yang berkecimpung dalam bidang fesyen, namun neneknya yang berketurunan Baba-Nyonya amat menjaga penampilan menjadi inspirasi untuknya turut jaga penampilan secara serius. “Ketika kecil saya melihat nenek sentiasa tampil anggun dan kemas sekali gus membuatkan saya tertarik untuk menjadikan fesyen sebagai teras perniagaan,” ujarnya. Sebagaimana pereka fesyen terkenal yang lain seperti Datuk Bernard Chandran dan Amir Luqman, Lynda juga mendapat pendidikan profesional di International Fashion Training Centre (IFTC). “Untuk menjadi pereka serba boleh, saya belajar dari bawah dan sehingga kini saya masih lagi belajar mengenainya. Tidak dinafikan saya juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Jadi saya gunakan apa yang pernah dilalui sebagai kekuatan untuk meneruskan impian saya yang mencabar ini,” katanya. Lynda mengakui, antara pengalaman pahit dan masih diingatinya hingga kini ialah ketika melabur dalam suatu acara fesyen di mana dia telah mengeluarkan wang berjumlah ratusan ribu ringgit walaupun sebenarnya dia tidak perlu melabur sebanyak itu. Selepas kejadian berkenaan, dia lebih berhati-hati dan cermat dalam hal kewangan. Butik Lynda Rahim KL yang pertama telah dibuka di Ampang pada 2008 dan ia adalah titik permulaan dirinya di dalam industri fesyen. Dia mengendalikan butik berkenaan bersama adiknya, Ika, yang membantu dari segi pengurusan manakala dia sendiri fokus dalam mencipta pakaian untuk pelanggan. Kini, butiknya beroperasi di Jalan Bangsar dan dikendalikan bersama beberapa pekerja. Siapa sangka minatnya terhadap disiplin rekaan pakaian berjaya dicapai sehingga berkembang maju. Lynda juga menyatakan dia sentiasa menumpukan sepenuh jiwa dan bekerja keras untuk merealisasikan impiannya itu kerana fesyen adalah minatnya. Bila diajukan pertanyaan mengenai apa yang menjadi keutamaannya, dia menyatakan pelanggan adalah keutamaan dan mereka juga adalah individu penting dalam kejayaan Lynda Rahim KL. “Ketika bertemu pelanggan, saya layan mereka seperti sahabat dan daripada situ mereka menjadi rakan saya. Ada yang kembali untuk mendapatkan khidmat saya,” kata Lynda. Baginya, disiplin yang dijaga dengan baik adalah etika kerja yang dipeganginya untuk menjana pembangunan jenama rekaannya. Setiap pereka fesyen pasti mempunyai idola tersendiri dalam industri yang diceburi. Seperti Lynda, dia juga mendapat inspirasi rekaan dalam pelbagai cara. Dia banyak melakukan penyelidikan dan sentiasa mengikuti perkembangan fesyen antarabangsa supaya gaya untuk fesyen tempatan yang diciptanya selaras dengan peredaran masa. Antara pereka fesyen tersohor kegemarannya ialah Valentino kerana bagi Lynda, koleksi pakaian dan hasil kerja tangan Valentino mempunyai jahitan kemas membuatkan diri kelihatan menawan tanpa terlalu menonjol dan amat serasi dengan gaya peribadinya. Menurutnya lagi, kualiti fabrik adalah antara elemen penting dalam pembuatan pakaian kerana ia mempengaruhi hasil sesuatu rekaan. Apa yang dititikberatkan Lynda ialah pilihan yang dibuat perlu mengikut kesesuaian jenis dan personaliti pelanggan. Untuk busana pengantin, fabrik yang sering digunakan ialah renda Perancis dan sutera chiffon yang tebal kerana ia flowy dan sesuai untuk busana pengantin. Mereka yang memakainya juga akan kelihatan seperti puteri raja pada hari istimewa itu nanti. Selain itu, dia juga menggunakan sutera chiffon Itali, namun ia adalah antara fabrik yang paling sukar digunakan dan memerlukan perincian khas supaya boleh dijadikan busana yang diidamkan pelanggan. Untuk 2016, Lynda bercadang untuk bekerja lebih tekun dalam usaha mengekalkan penglibatan jenamanya dalam industri fesyen tanah air supaya terus berkembang. Kini, Lynda mempunyai himpunan ready-to-wear (RTW) yang dikeluarkan dua kali setahun sejak tahun lalu. “Saya mengimpikan untuk menembusi pasaran antarabangsa dengan keluaran RTW ini dan berharap agar dapat mendidik warga Malaysia supaya sentiasa bergaya walaupun hanya untuk persalinan harian,” ujarnya, penuh bersemangat.

Teks FAUZIAH FAIZ Foto ROBIN YONG & LYNDA RAHIM KL Arahan Seni NURUL ALIAS

Tampil berani dengan rekaan ready-to-wear. Sentuhan klasik menambat hati.

Kelainan dalam rekaan busana perkahwinan.

Koleksi Nuevo Estilo

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.