Inspirasi

Syed Azmi ‘Small Lamb’

Jelita - - Muka Depan -

Tidak pernah terfikir sekelumit pun apatah lagi membayangkan hidupnya terpalit mimpi ngeri. Namun kini, *Siti Salwa terpaksa berhadapan hukuman penjara atas tuduhan membunuh tanpa niat bekas ibu mentuanya.

INDAH HANYA SEKETIKA

Saya berkahwin atas pilihan keluarga dan semua itu saya terima dengan hati yang terbuka. Tiada masalah dalam perhubungan kami suami isteri walaupun pada asalnya kami saling tidak mengenali antara satu sama lain. Ibu dan bapa mentua juga memberi layanan yang cukup baik. Mereka melayan saya seperti anak kandung mereka sendiri. Kasih sayang mereka tidak berbelah bagi, segala-galanya bermula dengan cukup indah pada masa itu. Namun, kebahagiaan rumah tangga yang dibina selama empat tahun itu seakan terhenti separuh jalan setelah suami saya meninggal dunia akibat serangan jantung. Perasaan saya sedih bercampur keliru, apatah lagi memikirkan kini menjadi balu dan anak tunggal kami pula yatim. Nasib saya baik kerana keluarga mentua tidak pernah lepas tangan terhadap kami walaupun anak lelaki mereka sudah tiada. Bahkan saya anak-beranak diajak tinggal bersama mereka. Namun begitu, lama-kelamaan saya mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Bekas ibu dan bapa mentua yang kuat didikan agama itu semakin mengongkong dan mengawal setiap pergerakan saya. Mereka tidak izinkan saya bergaul dengan orang luar dan tidak boleh keluar ke mana-mana tanpa izin mereka, kecuali ke tempat kerja, sehingga saya berasa rimas dengan keadaan tersebut. Usia saya yang masih muda ketika itu meronta inginkan sedikit kebebasan. Bukannya saya ingin melakukan perkara terlarang, cuma sebagai wanita biasa saya juga mempunyai kemahuan untuk merasa dunia luar seperti orang lain. Perasaan dan kehendak saya dinafikan oleh mereka, dengan alasan ingin melindungi saya.

Siapa sangka, perkara biasa yang tidak disedari mampu meninggalkan kesan luar biasa kepada hidup seseorang. Itulah yang terjadi kepada Siti Salwa, 35. Hidupnya berubah 360 darjah selepas terpaksa meringkuk di Penjara Wanita Kajang selama 12 tahun atas kesalahan membunuh. Ketika bertemu dengannya tempoh hari, dia yang sudah menjalani hukuman selama sembilan tahun itu tampak tenang dan pendiam. Tenangnya mungkin hanya pada luaran, hati di dalam, siapa yang tahu?

KEHIDUPAN BERUBAH GELAP

Akibat tidak tahan dengan kongkongan mereka, suatu hari saya meminta izin untuk berpindah dengan alasan mahu

berdikari membesarkan anak tunggal sendiri. Puas dipujuk, akhirnya mereka akur dengan permintaan saya. Setelah itu kehidupan saya kembali normal dan saya telah berkahwin lain dengan seorang lelaki yang mampu menjaga saya dan anak. Saya berkahwin secara senyap tanpa pengetahuan bekas ibu dan bapa mentua saya, takut mereka akan bertindak di luar batasan. Tanpa saya sedari, kegembiraan kali kedua yang saya cuba cipta dan jaga dengan harapan ia akan berpanjangan sehingga ke akhir hayat, turut punah dalam sekelip mata. Suatu hari, bekas ibu mentua singgah ke rumah, kerana merindui cucunya. Kebetulan, suami tiada di rumah kerana bekerja. Saya melayannya dengan mesra walaupun hati berdebar-debar jika dia ternampak perut yang sedang membesar kerana hamil anak kedua. Sewaktu di dapur, saya langsung tidak terfikir yang si kecil berusia empat tahun ketika itu memberitahu neneknya yang dia kini mempunyai bapa baru. Ketika itulah terbongkar segala cerita yang saya sudah berumahtangga tanpa pengetahuannya. Bekas ibu mentua saya mula melenting dan menyoal secara bertubi-tubi, kebanyakan soalannya langsung tidak masuk akal. Seakan-akan saya telah curang pada arwah suami, mengkhianatinya kerana mendiamkan diri mengenai perkahwinan baru. Saya tidak dapat terima tuduhan demi tuduhan yang dilemparkannya, kerana bagi saya, itu hak saya untuk membina kehidupan baru demi anak dan kebahagiaan jiwa saya. Setiap kali dia menyoal, suara saya mula meninggi. Tercetus pertengkaran kasar antara kami. Dalam ketegangan itu, kemarahan saya makin memuncak dan tanpa disengajakan, saya telah menarik tudungnya di bahagian leher hingga mengakibatkan dia rebah pengsan. Saya jadi panik dan terus menelefon ambulans. Setibanya di hospital, hati saya jadi tidak menentu, ternyata malang tidak berbau. Bekas ibu mentua saya disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung. Beberapa minit selepas itu juga, pihak polis pun tiba di hospital untuk menyoal siasat saya. Nasib tidak menyebelahi apabila saya gagal membela diri saya ketika disoal siasat. Saya ditahan dan mula naik turun mahkamah untuk perbicaraan walaupun sarat hamil. Akhirnya, saya dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan membunuh bekas ibu mentua saya walaupun tanpa sengaja. Tiada apa dapat disangkal, apatah lagi kejadian itu berlaku di rumah saya sendiri dan pihak forensik melihat terdapat kesan kecederaan pada leher arwah ibu mentua. Dalam melayan nafsu kemarahan ketika kejadian, saya telah bertindak di luar kawalan kepada insan yang saya hormati. Dan tidak disangka kematiannya berlaku di tangan saya sendiri.

REDHA DENGAN UJIAN

Semuanya berubah dalam sekelip mata tanpa diduga. Kehidupan saya di penjara ini pada mulanya agak menyedihkan. Rasa rindu yang membuak terhadap suami dan anakanak yang kini berusia 13 dan 11 tahun seperti tidak dapat dibendung lagi. Kerjaya saya sebagai seorang guru sebelum ini terpaksa dilupakan kerana kini bergelar seorang banduan. Setiap hari saya tidak pernah berhenti berdoa agar Tuhan kuatkan semangat saya dalam menghadapi segala ujian di sini. Syukur, setelah bertahun meringkuk di dalam penjara, saya kini lebih tabah dan terus berusaha menjadi seorang yang lebih baik dari hari ke hari. Kehidupan di penjara tidak seteruk yang dibayangkan. Di sini saya berpeluang mendalami ilmu agama dengan adanya kelas mengaji, tilawah dan nasyid. Hal sedemikian mematangkan saya disamping menguatkan saya dari segi rohani. Mungkin berdasarkan apa yang diceritakan di sini membuatkan ramai berasa simpati ke atas saya yang dihukum atas kesilapan yang tidak disengajakan, namun saya mengakui mungkin jika saya lebih sabar berhadapan dengan bekas mentua, saya tidak akan berada di sini. Hanya satu impian saya untuk masa yang mendatang iaitu untuk melalui kehidupan biasa seperti insan lain di luar sana.

FAKTA JABATAN PENJARA MALAYSIA

Biarpun menjalani hukuman penjara, banduan di sini perlu mempelajari kelas kemahiran seperti menjahit, membuat kek, bertukang, ilmu tenun, batik dan songket. Penjara Kajang mempunyai premis perniagaan spa dan salun yang dibuka untuk orang ramai. Walaupun khidmat dilakukan banduan, tetapi mereka adalah pesalah jenayah ringan dan turut dijaga ketat oleh warden yang bertugas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.