Kem Keluarga

Cabaran Didik Anak Zaman Teknologi

Jelita - - Muka Depan -

Sikap anak biasanya sukar dijangka. Jika ada yang tidak kena, perasaan mereka mudah bergelodak. Jadi ibu bapa harus memainkan peranan dalam menenangkan anak yang sedang marah. Paling penting jangan guna kekerasan dan cuba pujuk si anak dengan cara berhemah.

PENGALAMAN 1

“Anak kedua saya, Ahmad Darris Wong agak kerap memberontak. Ditambah pula dia masih tidak pandai bercakap jadi apabila dia menginginkan sesuatu, saya susah untuk memahaminya. Selalunya apabila kehendak serta permintaannnya tidak dituruti, dia mula menunjukkan perasaan tidak puas hati. Antara yang sering dilakukan marah, menjerit atau membaling barang,” kata Muhammad Daniel Wong. Ujarnya lagi, selalunya dia akan membiarkan Darris seketika. Tunggu sehingga keadaan reda sedikit dan barulah dia akan memujuknya kembali. Daniel akan memujuk dengan suara yang lembut dan dalam masa sama cuba menenangkan perasaannya. Alhamdulillah, Darris akan kembali normal.

PENGALAMAN 2

“Mohamad Rayyan Firdaus agak manja dengan saya dan suami. Begitu juga dengan nenek serta datuknya. Boleh dikatakan semua kehendaknya dipenuhi. Jadi apabila dia tidak dapat apa yang dimahukannya, dia akan memberontak. Selalunya dia akan menangis sehinggalah ada yang memujuknya barulah dia diam,” kata Warishah Wahab. Tambahnya lagi, Rayyan juga suka membaling barang. Ditambah pula sekarang Rayyan sudah mempunyai adik, sikap cemburunya kian terserlah dan semakin kerap menunjuk perasaan. Rayyan juga rapat dengan Nanny Long iaitu pengasuhnya. Jadi kadangkala setiap kali dia memberontak, hanya Nanny Long sahaja yang mampu memujuknya sehingga diam. Memberontak (tantrum) adalah perkara yang biasa di kalangan kanak-kanak berusia 18 – 48 bulan. Tantrum adalah sesuatu yang normal tetapi menguli tahap kesabaran ibu bapa. Ia boleh berlaku dalam bentuk kemarahan, kekecewaan dan tingkah laku yang mencabar. Anak anda boleh menjerit, menangis, menendang, memecahkan barang, berkelakuan ganas dan kadangkala menahan nafas sehingga muka nyaris biru. Pada umur sekitar dua tahun, kanakkanak akan menguji had kesabaran ibu bapa dan mereka tidak boleh melihat sesuatu perkara daripada pandangan orang lain. Mereka ingin bebas untuk meneroka persekitaran. Pada masa sama, ibu bapa atau guru sering menghalang anak melakukan sesuatu

kerana risau keselamatannya. Jika ini berlaku, anak akan berasa kecewa kerana mereka mahu lakukan apa yang diinginkan tapi tidak dibenar ibu bapa. Apabila kecewa, anak akan menunjukkan kekecewaan dan kemarahan dengan menangis, memukul dan menjerit. Dia belum mempunyai kemahiran untuk meluahkan kemarahan dan kekecewaan dengan cara lain. Oleh itu, tantrum adalah peluang yang baik untuk kanak-kanak belajar cara mengendalikan perasaan negatif berkenaan. Selalunya, kanak-kanak akan berhenti memberontak apabila mereka dapat apa yang mereka mahu. Tingkah laku dan reaksi ibu bapa juga menyumbang kepada kekerapan tantrum yang berlaku. Kanak-kanak akan lebih cenderung melakukan tantrum jika ibu bapa memberikan apa sahaja yang mereka mahukan atau jika ibu bapa memberi perhatian yang lebih kepada tingkah laku negatif yang mereka lakukan.

CARA MENGHADAPI TANTRUM

Ketika anak anda sedang meragam, ambil kira perkara di bawah:

* Pastikan anak dalam persekitaran selamat. Tiada benda tajam atau yang boleh mencederakannya.

* Pastikan anda sentiasa tenang dan jangan terlebih beri perhatian kepada tingkah laku itu, bagi mengelakkan kemarahan anak semakin bertambah.

* Jangan hukum anak anda kerana emosinya akan lebih terganggu.

* Elak berikan ganjaran kerana cara ini boleh memburukkan lagi keadaan.

* Jika boleh, asingkan anak anda. Biarkan dia seorang diri. Dia akan cepat bertenang jika tiada yang mengganggunya.

* Jangan biarkan reaksi orang lain mempengaruhi cara anda memberi tindak balas kepada tantrum itu.

Menghukum kanak-kanak yang memberontak dengan menjerit atau memukul akan menyebabkan tantrum menjadi lebih teruk dalam jangka masa pendek dan tingkah laku itu kekal dalam jangkamasa panjang. Jika ibu bapa memberikan apa yang anak mahukan sebagai satu cara untuk menghentikan tantrum, keadaan boleh menjadi lebih teruk. Malah dengan melakukan perkara ini, mereka sebenarnya mengajar anak-anak agar menggunakan tantrum untuk memanipulasi keadaan menyebabkan tingkah laku ini berterusan sehingga dewasa.

Apabila anak memberontak di rumah, ibu bapa perlu tenang. Bawa anak ke tempat selamat untuk dibiarkan bersendirian. Tinggalkan anak seketika dalam bilik, tutup pintu dan datang semula hanya jika anak kembali tenang.

Atasi anak suka memberontak, menurut Dr Norharlina Bahar, Kementerian Kesihatan Malaysia

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.