Santapan Jiwa

Wangian Hukum Memakai

Jelita - - Muka Depan -

Langsung tidak pernah terlintas di hati Noraishah Mohamed Shah untuk mendirikan rumah tangga dengan lelaki berlainan bangsa dan agama dengannya. Namun saat pertama kali dia mengenali jejaka ini, hatinya terus terpikat dan tahu dia bersedia untuk hidup bersama dengannya. Noraishah, 33, dan Nazrin Navin Seberamaniam, 33, bertemu buat kali pertama sewaktu sama-sama menyambung pengajian di Kolej Negeri, Kuala Pilah pada 1998. Oleh kerana Nazrin satu-satunya pelajar lelaki berbangsa India di kolej berkenaan, jadi Aishah cukup gemar mengusik dan bergurau dengannya. Namun hubungan mereka di kolej hanya berlangsung dua semester sahaja kerana selepas itu Aishah menukar bidang pengajian dan berpindah ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam. Walaupun kedua-dunya berjauhan, hubungan mereka tidak terputus malah tetap akrab seperti biasa. Bermula sebagai kawan dan lama-kelamaan mereka semakin serasi. “Biarpun kami mempunyai banyak perbezaan namun itu bukan masalah besar. Sikap Nazrin yang bertanggungjawab, kelakar dan penyayang itu berjaya memikat hati saya. Paling menarik, kami berkongsi minat yang sama iaitu gemar bercuti dan meminati pasukan bola sepak Liverpool,” katanya. Selepas hampir 12 tahun mengenali antara satu sama lain, akhirnya pasangan ini membuat keputusan untuk bersatu sebagai suami isteri. Bagi Aishah dia tidak teragak-agak untuk menerima Nazrin sebagai suaminya memandangkan sejarah

Kahwin campur bukan lagi perkara yang asing di negara ini, namun bagi mereka yang pernah melaluinya, ia tetap memiliki cabaran tersendiri. Fokus Jelita menyelami kisah rumah tangga pasangan berlainan agama ini yang menempuhi pelbagai onak sebelum dapat disatukan sebagai suami isteri.

keluarganya ramai yang berkahwin campur dan situasi berkenaan adalah sesuatu yang biasa baginya. Malah, kawan-kawan yang mengenali mereka juga sentiasa memberi dorongan dan sokongan terhadap perhubungan ini. Biarpun ada segelintir individu yang mempamerkan pandangan negatif terhadap mereka, keadaan ini tidak pernah membuatkan mereka berasa tertekan malah jauh sekali untuk dikesalkan. “Saya tidak hiraupun dengan keadaan ini. Pernah satu ketika dulu, ada pergaduhan di antara orang Melayu dan India di kawasan perumahan saya. Insiden itu agak serius hingga membuatkan hubungan di antara kedua-dua kaum ini menjadi dingin untuk jangka masa yang agak lama juga. Kebetulan sebaik selepas kejadian itu, Nazrin datang ke rumah saya dan penduduk sekitar memandang dia dengan pandangan yang cukup sinis,” cerita Aishah. Tidak dinafikan perhubungan mereka mendapat tentangan pada peringkat awalnya terutama daripada ibu bapa Nazrin. Kedua-duanya tidak begitu menyukai hubungan ini, namun ia bukan penghalang untuk mereka terus bersama. Bahkan, Aishah dan Nazrin tidak pernah berputus asa untuk mendapatkan restu keluarga serta membuktikan kasih sayang mereka akan sentiasa utuh. “Bukan mudah untuk mendapatkan restu mereka dan itulah salah satu penyebab kenapa kami lambat berkahwin semata-mata mahu menjaga hati mereka. Tetapi kami terus berkawan sehingga keluarga kami sendiri terbuka hati untuk terima hubungan ini,” kata Aishah.

MENCARI KEBERKATAN

“Hampir 100 peratus persiapan perkahwinan, kami uruskan sendiri. Kami tidak meminta bantuan daripada orang lain kerana kami tidak mahu menyusahkan keluarga. Kami hanya melangsungkan satu majlis sahaja pada 18 Jun 2011 untuk keduadua belah pihak. Majlis pernikahan pada waktu pagi dan majlis persandingan pada waktu malam di Felda Villa Kuala Lumpur,” kongsinya. Uniknya, majlis mereka berlangsung di dalam dua tema berbeza. Bagi akad nikah, Aishah dan Nazrin memilih konsep Melayu. Manakala untuk majlis persandingan kedua-dua mereka diraikan di dalam suasana bertemakan India. Nazrin mengenakan sherwani dan buat pertama kalinya Aishah memakai saree. “Alhamdulillah, akhirnya kami berdua bersatu dalam suasana yang cukup gembira dan meriah. Kedua-dua keluarga dapat bersama dan menerima baik hubungan ini. Malah, Nazrin juga tidak kekok dengan kehidupan baru ini memandangkan sejak kecil dia sudah mempunyai ramai kawan Melayu sama ada di sekolah mahupun di rumah. Jadi dia tidak berasa janggal untuk menyesuaikan diri dengan cara hidup Islam,” katanya. Tambah Aishah lagi, suaminya mula menunjukkan minat terhadap Islam sejak di bangku sekolah lagi. Cuma waktu itu dia belum cukup umur dan tidak dibenarkan menukar agama. Sewaktu di kolej, dia sudah mula mendalami Islam dan ini sedikit sebanyak membantu dirinya untuk lebih mempelajari dan menyesuaikan diri dengan Islam. “Kami menghormati adat masingmasing. Ketika Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali, kami akan mengenakan pakaian tradisi, bersalam-salaman dan menziarahi saudara-mara. Malah, jika ada kelapangan kami tidak akan melepaskan peluang ke Seremban melawat ibu bapa Nazrin.” Kini selepas hampir empat tahun berkahwin, kehidupan rumah tangga mereka semakin bahagia. “Alhamdulillah, kehadiran Nazrin Naim yang bakal berusia dua tahun pada November nanti, menyinari hidup kami sekeluarga dan mengeratkan lagi hubungan hati kami ini. Semoga rumah tangga yang dibina ini kekal ceria dan bahagia sehingga ke akhir hayat. Terima kasih kepada keluarga yang amat memahami kami berdua,” ujar Aishah mengakhiri perbualan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.