Fokus Jelita

Sejiwa, Walaupun Berbeza Agama

Jelita - - Muka Depan -

Seperti pasangan lain, Muhammad Noor Ashraf Abd Rahim, 30, seboleh-bolehnya mahu isterinya sentiasa berada di sampingnya. Namun, disebabkan kekangan ekonomi yang semakin meruncing kini, mereka perlu berpisah buat sementara waktu. Ashraf bekerja di Malaysia manakala isterinya Siti Nurul Alia Ramlan, 30, merantau jauh mencari rezeki di Timur Tengah.

Tidak dinafikan, inilah keputusan yang paling sukar perlu mereka buat bagi menjamin masa depan bersama. Sebagai suami, Ashraf terpaksa berkorban kasihnya dan melepaskan isteri jauh dari pandangan mata. Bukan mudah untuk dilakukan namun dia reda dan berharap satu hari nanti mereka dapat kembali hidup sebumbung. “Saya dan Alia berkenalan sewaktu sama-sama menyambung pengajian dalam bidang kejururawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Pada mulanya kami hanya berkawan biasa saja, namun semakin lama kami semakin serasi dan selesa bersama. Akhirnya selepas tamat pengajian, kami membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga pada 13 Februari 2012.” Dia dan Alia hanya sempat merasai keindahan tinggal bersama sebagai suami isteri hanya seketika sahaja.

Setahun selepas diijabkabulkan mereka terpaksa berpisah kerana permohonan Alia untuk berkhidmat sebagai jururawat di Arab Saudi diluluskan. Hasrat Ashraf untuk ikut ke sana bersama suri rumahnya tidak kesampaian. “Kami sama-sama memohon untuk berkhidmat di sana. Namun, rezeki lebih menyebelahi Alia kerana permohonannya diluluskan. Tidak mahu melepaskan peluang yang ada di depan mata, saya merelakan Alia pergi. Biarpun kami baru sahaja berkahwin malah belum puas menikmati hidup bersama.” Ashraf sedar dia pasti merindui isteri tercinta, namun dia tidak mahu menghalang cita-cita isterinya. Tambahan pula, gaji yang ditawarkan cukup lumayan. Keluarga mereka juga tidak menghalang, malah sentiasa menyokong keputusan yang diambil pasangan suami isteri ini.

RINDU TIADA TEPI

Saat perpisahan akhirnya tiba jua. Berat hati Ashraf untuk melepaskan Alia pergi tetapi dia cuba untuk tabah. Bermulalah episod kehidupan mereka berdua sendirian. Sukar bagi Ashraf untuk menyesuaikan diri pada mulanya namun setelah hampir empat tahun berjauhan dengan Alia, kini dia sudah terbiasa. Segalagalanya dilakukan sendiri tanpa kehadiran isteri. Biarpun sebelum berkahwin dia tinggal sendiri, namun situasi menjadi agak berbeza apabila perlu hidup bujang tanpa isteri. Dia perlu melakukan kerja rumah, memasak dan makan seorang diri. Kehidupan Ashraf seharian terasa cukup sunyi tanpa Alia sebagai penyeri hidupnya. “Setiap saat saya merindui Alia. Itulah cabaran paling besar saya terpaksa hadapi selepas Alia pergi. Ditambah pula kami masih dalam tempoh bulan madu, jadi ketiadaannya cukup terasa. Bagi melepaskan kerinduan, kami sering berhubung menerusi aplikasi ‘Whatsapp’ dan telefon. Itupun sudah cukup, asalkan saya dapat mendengar suaranya,” kata Ashraf. Bukan itu sahaja, Ashraf juga tidak boleh lari daripada memikirkan keselamatan Alia di sana. Sakit pening Alia ditanggung seorang diri. Itu cukup membimbangkannya. Ditambah pula kini Alia sedang hamil cahaya mata pertama, jadi ini membuatkan dia tidak berhenti berfikir mengenai keadaan isterinya. Malah, keiinginannya untuk bersama isteri melalui detik manis ini membuak-buak. Tetapi apakan daya, disebabkan terikat dengan tanggungjawab masingmasing, mereka harus tabah dan menguatkan hati. “Alhamdulillah selepas hampir empat tahun berkahwin, saat yang kami nanti-nantikan bakal tiba jua. Bayi kami bakal dilahirkan April ini. Kasihan Alia terpaksa melalui tempoh hamil seorang diri kerana saya tidak dapat menemaninya. Jika diberi pilihan, saya mahu terbang ke sana bersama-sama dengan Alia melalui saat indah ini. Namun saya pasrah kerana tugas di sini masih belum selesai,” kata Ashraf. Katanya lagi, dia tidak sabar menanti kepulangan Alia ke tanah air tidak lama lagi bagi melahirkan anak mereka di sini. Segala keperluan bayi sudah siap tersedia. Cuma yang merisaukannya sekarang adalah bagaimana untuk membesarkan anak ini. “Hingga kini saya masih belum berjumpa dengan pengasuh yang sesuai untuk menjaga bayi kami nanti. Alia pula terpaksa pulang ke Arab Saudi sebaik habis berpantang. Buat masa sekarang dia masih perlu bekerja. Jika tiada pilihan lain, saya terpaksa menghantar anak saya pulang ke kampung. Ibu bapa saya akan menjaganya,” tambah Ashraf.

KUASA CINTA PADU

Walaupun dia lelaki, tipulah kiranya jika Ashraf langsung tidak bersedih. Tetapi mereka terpaksa berkorban demi mencari rezeki dan masa depan yang baik. Lagipun, mereka mahu menyediakan kehidupan yang selesa buat cahaya mata yang bakal lahir nanti. “Alia pulang ke Malaysia setiap lima bulan bermakna kami hanya dapat berjumpa dua kali setahun. Selalunya apabila dia pulang, kami cuba untuk meluangkan masa bersama dengan pergi bercuti. Inilah waktunya kami dapat bermanjamanja sebagai pasangan suami isteri. Saya juga pernah melawat Alia di sana,” kata Ashraf dalam nada rindu yang teramat. Ashraf bersyukur, biarpun hampir empat tahun tinggal berjauhan, hubungan mereka sebagai suami isteri masih bahagia. Kasih sayang di antara kedua-duanya kekal segar seperti zaman bercinta. Malah, mereka tidak pernah berhadapan dengan sebarang kesulitan malah, tidak pernah bergaduh. Bagi Ashraf pergaduhan itu hanya membuang masa. Seeloknya mereka bergembira setiap kali berjumpa memandangkan dia dan Alia jarang dapat bersama. Malah, setiap kali Alia pulang ke sini Ashraf sentiasa berusaha untuk menggembirakan isterinya. “Saya dan Alia sering berkongsi cerita setiap kali berhubung. Saling faham-memahami dan mempercayai membuatkan hubungan ini semakin utuh kerana kami saling memerlukan. Sokongan di antara satu sama lain amat penting bagi membolehkan kami berdua mengharungi semua cabaran ini,” ujar Ashraf.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.