Anak Segak

Galeri Foto Si Kecil

Jelita - - Muka Depan -

Membesar di zaman pengetahuan alam maya menjadikan anak anda terdedah kepada gajet terkini seawal umur dua tahun. Tidak hairanlah jika gajet tersebut telah sebati dan menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka. Zaid Mohamad, Pembimbing ibubapa bertauliah berkongsi ilmu cara didik anak zaman kini.

Jika ini terjadi, ibu bapa tidak boleh menyalahkan gajet tersebut, tapi mereka perlu meningkatkan usaha untuk mendidik anak menguasai gajet, bukan sebaliknya. Terdapat beberapa langkah yang ibubapa boleh praktikkan segera untuk mendidik anak menguasai gajet, tapi tidak terpengaruh dengan alat berkenaan.

1 JADUALKAN WAKTU PENGGUNAAN GAJET

Bincang secara terbuka dengan anak mengenai rancangan anda untuk mengehadkan masa penggunaan gajet. Anak mungkin akan menunjukkan tentangan, tetapi anda perlu bertegas demi kebaikan mereka juga. Jelaskan kepada anak bahawa mereka berpeluang untuk mendapat lebihan masa menggunakan gajet tersebut jika kena caranya (lihat langkah kedua berikut).

Saya cadangkan agar masa untuk gajet kepada anak ialah tidak lebih daripada dua jam sehari. Ini termasuklah masa untuk menonton TV dan bermain komputer, sama ada melalui komputer meja, komputer riba, telefon pintar dan komputer tablet. Minta mereka jadualkan sendiri masa penggunaan untuk setiap gajet tersebut. Letakkan jadual yang dipersetujui di tempat umum seperti di dinding peti ais.

2 JADIKAN MASA GAJET SEBAGAI HADIAH ATAU HUKUMAN

Beri peluang kepada mereka mendapatkan lebih masa untuk gajet dengan melakukan sesuatu yang baik. Bina bersama-sama satu senarai anugerah dan hukuman di mana jika mereka melalukan sesuatu yang baik, mereka akan dapat masa bonus untuk gajet. Sebaliknya, masa gajet mereka boleh dipotong jika kelakuan tidak memuaskan. Contoh perlakuan baik: Menolong ibu mengemas rumah, menyiapkan kerja sekolah tanpa disuruh. Contoh kelakuan tidak baik: Mengganggu adik, terlupa membasuh kasut sekolah, tidak menyiapkan kerja.

3 ISYTIHARKAN HARI BEBAS ELEKTRONIK SEMINGGU SEKALI

Sebaiknya, Ahad dijadikan hari tanpa gajet. Ibubapa perlu menunjukkan kepemimpinan melalui teladan. Tutup televisyen dan komputer; jalankan satu aktiviti kekeluargaan yang menarik seperti kraftangan, masakan, permainan atau hanya berjalan-jalan. Anda sekeluarga akan mengalami satu pengalaman baru yang indah tanpa gajet.

KESAN FIZIKAL

Di samping kesan kepada mental anak, penggunaan gajet yang tidak terkawal juga boleh membawa kesan negatif kepada mereka. Antara kesannya adalah seperti berikut:

BERKURANGAN AKTIVITI FIZIKAL

Kanak-kanak yang telah terpaut dengan teknologi kebanyakannya memilih menghabiskan masa di dalam rumah berbanding di luar. Mereka lebih gemar bermain permainan elektronik berbanding dengan menendang bola di padang. Apabila ini berlaku, kecergasan badan akan menurun secara mendadak sehingga boleh menjejaskan kesihatan seperti masalah obesiti dan jangkitan lain.

KESAN KEPADA MATA

Anak kecil yang menghabiskan masa berjam-jam mengadap skrin gajet lambat laun akan terjejas kuasa matanya. Ramai pakar bersetuju bahawa untuk mendapatkan mata yang sihat, anda perlu memandang secara dekat dan jauh dengan konsisten. Jika mata hanya merenung skrin sepanjang hari, kuasa mata mereka akan menurun setelah mereka meningkat dewasa.

KEKURANGAN TIDUR

Kanak-kanak yang ketagih kepada teknologi akan secara tidak sedar mencuri masa tidur untuk memuaskan ketagihan mereka. Ada yang bermain gajet sehingga awal pagi dan tidak mendapat tidur yang mencukupi. Ini akan menyebabkan mereka hilang daya tumpuan dan juga tenaga pada keesokan harinya. Kitaran ini mengganggu rutin harian mereka dan mungkin ada yang tertidur di waktu yang tidak sepatutnya.

“Tutup televisyen dan komputer; jalankan satu aktiviti kekeluargaan yang menarik seperti kraftangan, masakan, permainan atau hanya berjalan-jalan. Anda sekeluarga akan mengalami satu pengalaman baru yang indah tanpa gajet.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.