Poskod

75200 Melaka

Jelita - - Muka Depan -

Indahnya jika memiliki pasangan ‘kaki jalan.’ Ke mana saja berdua, meneroka tempat baru dan curi peluang mengenali satu sama lain dengan lebih dekat. Cipta memori indah bersama tanpa masalah menerjah dengan sedikit helah berguna.

Perjalanan bersama pasangan ada kalanya sedikit mencabar. Dengan situasi kurang tidur, makan tidak menentu, penat berjalan ke sana sini, badan tidak selesa dengan perubahan cuaca dan sebagainya akan mencucuk lagi rasa tidak selesa ketika kembara berdua. Namun semua itu tidak harus dijadikan alasan untuk anda dan pasangan mengehadkan sesi teroka dunia bersama.

Tip ini boleh memudahkan perjalanan anda dalam mencipta kenangan terindah berdua.

Luahkan Yang Terbuku

Anda berdua pasti akan bergaduh, walaupun sedikit. Ia tidak boleh dielakkan. Ketika mengembara, komunikasi adalah kunci utama. Setiap kali berada di jalan raya, lapangan terbang mahupun ketika mengunjungi tempat menarik, pastikan anda sentiasa peka dengan kehendak pasangan. Dalam hal kecil, turuti saja kehendaknya agar ia tidak membangkitkan persengketaan.

Dapatkan Masa Berkualiti

Curi sedikit masa sepanjang anda berdua mengembara untuk melakukan hal santai kecil seperti membaca buku, mendengar muzik dan menonton filem di bilik hotel. Lupakan sebentar aktiviti luar dan luangkan masa melakukan aktiviti ringkas tanpa perlu bercakap. Hal ini akan memberikan ketenangan.

Lakukan Aktiviti Berbeza

Mungkin ada masanya walaupun ketika mengembara bersama, anda dan pasangan memerlukan sedikit waktu bersendirian atau melakukan aktiviti yang suami tidak suka lakukan. Jangan khuatir, hal itu adalah wajar.

Mengembara tanpa henti, sentiasa bersama tanpa ada masa bersendirian mungkin akan menjadikan emosi tidak enak. Keluar ke tempat berasingan dan belikan hadiah kejutan untuk si dia. Teknik ini juga memberi ruang kepada anda dan pasangan untuk saling merindui antara satu sama lain.

Bertolak Ansur

Jika ada satu hari anda hanya ingin menghabiskan masa di bilik hotel, manakala pasangan ingin keluar berjalan-jalan di luar, jangan cepat melatah. Cuba bertolak ansur dan saling memahami. Mungkin anda berdua boleh menghabiskan separuh hari di bilik dan pada waktu petang meneroka dunia luar.

Keluar Dari Zon Selesa

Perjalanan ke negara berbeza adakala membuatkan anda terpaksa berhadapan dengan situasi tidak selesa. Ada masanya anda dan pasangan perlu melakukan perkara yang tidak biasa. Buang rasa takut dan keluar dari zon selesa anda. Lakukan aktiviti yang tidak pernah dilakukan, kerana ada pasangan yang sentiasa menyokong anda disisi. Pergi ke restoran yang tiada pelancong dan lihat apa yang bakal anda nikmati. Lakukan selaman skuba walaupun anda takut. Beri sokongan kepada satu sama lain sambil mengembangkan horizon bersama.

Bergaul Dengan Baik

Walaupun anda sudah mempunyai pasangan tidak bermakna anda tidak perlu bergaul dengan orang sekeliling. Cuba memulakan perbualan dan berkenalan dengan orang yang menginap di hotel sama, mengikuti perjalanan bersama, malahan pekerja restoran tempatan mahupun pelancong lain yang anda terjumpa juga boleh anda tegur dan menjadi kenalan baru.

Aktiviti Membangkit Asmara

Rancang perjalanan selama beberapa hari agar ada hari di mana anda dan pasangan dapat melakukan aktiviti romantik bersama. Makan malam istimewa, rawatan spa atau hanya sekadar duduk di bilik hotel berdua akan mengembalikan kehangatan cinta.

Nikmati Detik Bersama

Tidak selalu anda berdua dapat meluangkan masa mengenali satu sama lain dengan lebih mendalam, bercerita mengenai impian bersama, masa depan dan sebagainya. Waktu sedang bercuti atau melancong bersama adalah yang diperlukan untuk semua itu. Apabila percutian berdua tamat, anda dan si dia pasti dapat mengenali antara satu lain lebih daripada diri sendiri.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.