Menyemai Kasih, Mengukuh Ikatan

Jelita - - Editor - Anida Salwani, Timbalan Editor

Cinta datang tanpa diduga dan saya adalah antara yang yakin pada kenyataan ini. Apa tidaknya, suami melamar pada janji temu kedua dan tanpa fikir panjang, saya terus bersetuju. Mungkin bunyinya agak klise tetapi seperti kisah dua hati yang lain, perjalanan kasih kami ada pasang surutnya. Mustahil tidak pernah bermasam muka atau merajuk panjang atau terpacul ayat “tidur luar,” itu sebahagian asam garam yang perlu ditelan untuk mengukuh dan menambah kekuatan pada magis perhubungan. Lima tahun pertama perkahwinan bagi saya, adalah tempoh paling mencabar, jangka masa perkenalan luar dalam yang tiada rona kelabu, sungguh berwarnawarni. Jika ikutkan ego dan darah muda mungkin tidak tercapai usia 13 tahun perkahwinan pada bulan ini. Perlunya sabar, dan jangan malu minta nasihat pada ibubapa dan rakan rapat paling memahami. Pahitnya adalah bila suara syaitan yang cuba menghasut untuk memusnahkan masjid tidak diiyakan mereka. Malah disuruh pula bersabar dan cari kebaikan juga kedua-dua pihak perlu melakukan perubahan sikap. Sasaran saya, terus berkasih seperti ibubapa saya yang telah mengecapi kebahagiaan rumahtangga selama 39 tahun. Untuk bulan ini, Jelita meraikan kuasa dua hati menerusi tiga coretan yang boleh dijadikan panduan. Kisah pasangan suami isteri hidup antara dua benua ke cinta perbezaan agama yang mengharungi sedikit perang dingin antara dua keluarga. Baca juga ketebalan kasih seorang ibu yang menjaga anak dewasa kemurungan kronik. Apakah kuasa yang dimiliki mereka hingga mampu kekal hubungan yang utuh? Mulakan di halaman 89. Galeri Fesyen bulan ini berkongsi ilmu mencanak keyakinan begitu dekat dengan hati. Apa anda perlu tahu mengenai kuasa pada pakaian dalam. Ya, boleh diguna untuk menggoda suami tapi saya percaya, pakaian dalam yang betul boleh menyerlahkan keyakinan diri secara effortless. Kisahnya di h.64. Dan jangan lupa lengkapkan penampilan bergaya dan berilmu anda dengan semburan wangian yang memikat di h.38 ya. Perut juga perlu dikasihi dan resipi kebaratan dengan siri manisan yang lazat mengisi ruang Sajian di h.126 kali ini. Bak kedai serbaneka yang lengkap, kami di Jelita berharap anda berpuas hati dengan paparan disediakan. Kongsikan pandangan anda bersama saya, emelkannya kepada jelita@bluinc.com.my. Jumpa lagi!

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.