Meniti Cita-cita Cara

VANIDAH IMRAN

Jelita - - Depan -

Antara aktres jelita dan pandai menjaga nama baik diri serta keluarganya, ‘wanita Melayu terakhir’ ini tidak gentar dengan cabaran. Manakan tidak, kini dia kembali ke alam pembelajaran dan bakal bergelar pemegang sarjana bidang kaunseling.

Jaket, InnaiRed. Gelang, Aisha Wong Accessories. Subang, milik penata gaya.

Seperti berjumpa teman lama, temu bual bersama Vanidah atau lebih mesra dipanggil Vee lebih kepada perbualan santai yang menyeronokkan apatah lagi turut ditemani pengarang urusan Jelita, Izza Safinaz Ibrahim. Jelitawan ini tiba di lokasi dijanjikan berbusana santai – sweatshirt kelabu dengan cetakan bunga hitam, rambut diikat ekor kuda, wajah dioles solekan tipis. “Maaf, sedikit lambat. Tak sangka ada kesesakan lalu lintas, susah menjangkakan keadaan jalan raya sekarang ni, padahal esok cuti (Maulud Nabi),” keluhnya yang memandu sendirian dari rumah. Memilih kudapan cip nachos dan salad untuk dikongsi sambil berbual, Vee segera memulakan temubual kerana tahu penulis perlu segera ke temujanji seterusnya dengan famili. Hampir dua jam berbual, topik berkisar hal anak, isu berhijab, resipi mudah bawah lima minit selain hidup dan mati – ada kala bergelak ketawa, sesekali serius mengupas sebab dan punca. Kematangan dan kebijaksanaannya cukup menyerlah seiring usia yang bakal mencecah 42 tahun.

Matang Dengan Ilmu Di Dada

Begitulah yang Jelita lihat pada pemegang anugerah Aktres Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia 2007 ini, makin berusia, makin berisi. Bukan pada tubuhnya (memang kekal kurus langsing sejak dulu), tetapi pada pengetahuan. Jika orang lain tidak kuasa mahu memikirkan keluar masuk kelas untuk belajar seperti golongan yang muda, tetapi Vanidah menongkah arus dan kini mula menyambung pengajian dalam bidang kaunseling untuk memegang ijazah sarjana dalam tempoh dua tahun lagi. “Itu sasaran saya, dua tahun kena selesaikan sarjana ini,” katanya penuh nekad dan semangat. Tetapi kenapa kaunseling? “Saya adalah people’s people. Suka berkongsi dan mahu memberi balik kepada masyarakat, saya mahu menggunakan ilmu ini dan terapkannya dalam aktiviti atau kerjaya saya, terutama menerusi lakonan. Lakonan sebenarnya adalah landasan yang bagus untuk

Jaket, InnaiRed. Rantai, Aisha Wong Accessories. Cincin, milik penata gaya.

membina karekter. Menerusi ilmu ini nanti, saya mahu membantu orang lain menambah keyakinan dalam membina impian mereka,” jelasnya. Sedia maklum Vanidah yang juga pengacara berbakat adalah pemegang ijazah sarjana muda dalam pengajian Bahasa Inggeris sejak tahun lalu. Dan dia enggan kehilangan momentum berkenaan lantas mahu menyambung pengajian ke peringkat Masters pula. Bermakna, Vanidah turut membayangkan 2016 sebagai tahun di mana dia akan kurang aktif dalam kerjaya sebagai anak seni. Bukan hanya perlu fokus kepada pembelajaran, kedua-dua anak kesayangannya Mikhael dan Maryam bakal menduduki peperiksaan penting tahun ini – Penilaian Tingkatan 3 (PT3) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). “Jika jadual padat pun mungkin pada suku pertama tahun ini, selepas itu saya perlu longgarkan jadual untuk tumpu kepada kelas selain memastikan anakanak fokus pada peperiksaan mereka,” kata isteri kepada aktor Rashidi Ishak ini. Vanidah turut memberitahu yang dia bakal sibuk dengan pementasan teater Randai di Istana Budaya, Mac ini. Sedikit ralat kerana perlu menolak tawaran berlakon filem disebabkan kekangan masa, tetapi Vanidah sudah tahu apa yang diingininya tahun ini dan perlu pegang kepada keutamaan. “Dan tiada pembantu rumah langsung tidak membantu ya,” keluhnya.

Panduan Jadi Pelajar Senior

Kembali ke ‘sekolah’ pada usia 40-an, kenapa Vanidah berani melakukannya sedangkan orang lain akan merasakan ianya sudah tentu lebih mencabar? “Ia menyeronokkan, betul tidak mudah tetapi ada seronoknya. Bezanya bila belajar pada usia muda di mana pengalaman hidup pun kurang, anda perlu serap banyak informasi baru. Tetapi pada umur ini, kita sudah melalui banyak naik turun kehidupan dan bila diajar anda akan dapat faham dengan lebih baik dan sesetengahnya, anda boleh terus kaitkan dengan apa pernah dilalui. Itu saja cukup membantu,” jelasnya. Membayangkan perlu bekerja, belajar dan menjaga keluarga tanpa bantuan orang luar, sudah tentu terasa sedikit lemas juga rimas. Bagaimana mahu membahagikan masa dengan betul? “Banyak kali juga saya terasa burnt out selain perasaan ‘biar benar’ dan seakan mahu putus asa. Begitu pun saya ada ramai teman di universiti yang sentiasa beri kata-kata semangat, ‘you boleh buat Vee! Sikit saja lagi Vee!’. Mempunyai kumpulan teman belajar memang amat membantu, itu yang membuat semuanya jadi mudah dan menyeronokkan. “Saya berkenalan dengan teman pelajar yang datang daripada pelbagai latar belakang dan usia, mereka tempat saya bergantung. Kami berkongsi pengalaman hidup yang berbeza dan itu amat membantu. Tak dinafikan, sokongan keluarga juga amat penting. Rashidi pun faham, jika minggu itu saya sibuk dengan tugasan belajar juga peperiksaan, dia akan bantu menguruskan anak-anak sepenuhnya. Kebiasaannya bila saya perlu siapkan tugasan, saya akan tidur selepas waktu Subuh. Pada minggu rutin biasa, dia dan Rashidi akan membahagikan tugas menguruskan anak tetapi khusus buat isteri tercinta supaya dapat fokus lebih baik pada pengajian, Rashidi akan memastikan Vanidah mendapat rehat yang cukup. Untung suaminya tidak kekok mengendalikan anak-anak yang kian meningkat remaja. “Nak sambung belajar, perlukan disiplin yang menggunung, justeru itu saya elak mengambil sebarang kontrak lakonan,” katanya. Imbasnya lagi, pernah terbabit dalam penggambaran drama episod yang dia sudah sedia maklum akan memakan masa panjang hingga ke minggu peperiksaannya. Vanidah lebih awal akan meminta izin pihak penerbitan agar melepaskannya lima hari sebelum tarikh peperiksaan untuk membuat persiapan sewajarnya. “Tetapi lima hari tidak memadai untuk belajar semua dengan secukupnya. Jadi, saya di set kenalah menghadap buku bila

ada waktu rehat. Jika nak diikutkan, memang tak banyak yang boleh diingat, tetapi sekurang-kurangnya ada sesuatu daripada langsung tidak sentuh. Jika penggambaran selesai awal, saya terus pulang ke rumah untuk sambung baca buku. Tidak cukup tidur? Itu sudah pasti!” katanya.

Reaksi Dua Anakanda..?

Belajar bersama dengan kedua-dua anaknya, sudah tentu menjanjikan persaingan sihat, siapa lebih rajin belajar dan menjadi motivasi – jika ibu boleh lakukannya, apakah alasan anak yang tidak perlu bekerja dan hanya fokus pada sekolah serta pelajaran mereka sahaja? “Anak-anak lihat saya perlu kerja kuat dan mereka bertanya, adakah ini kehidupan sebenar bila menjadi pelajar universiti? Saya jelaskan, sudah tentu tidak kerana saya melakukannya separuh masa dan masih perlu bekerjaya. Jika mereka melakukannya sepenuh masa, pasti lebih mudah mahu fokus pada pengajian. Saya tanya mereka balik, kenapa bertanya. Jawapannya: ‘Jika begini susahnya, kami tak mahu pergi universiti!’ (ketawa). Kisahnya, mereka takut lihat saya tidak cukup tidur, rupa pun sudah tidak seperti manusia normal, perlu jaga hal rumah lagi… Waktu itulah kulit wajah saya jadi teruk dan saya enggan penuhi jemputan acara, tak kuasa!” Bercerita lanjut mengenai rakan belajar sekumpulan, Vanidah cukup seronok berkongsi kerana mereka inilah yang banyak membantunya. Malah, kumpulan itu terdiri daripada individu pelbagai usia termasuk yang paling senior berusia 60 tahun dan dua daripadanya dalam lingkungan 50-an sewaktu kelas sarjana muda. “Saya sendiri tanya, kenapa perlu belajar lagi? Jawapan mereka penuh inspirasi. Mereka sudah menumpukan seluruh hidup untuk suami dan keluarga, dan kini anak-anak sudah dewasa dan mempunyai laluan hidup masingmasing. Jadi inilah masa sesuai untuk buat sesuatu untuk diri sendiri. Mungkin ilmu dipelajari tidak digunakan tetapi ia lebih kepada kepuasan diri. Kalau mereka boleh buat, kenapa tidak saya?” kata Vanidah lagi. Beza rutinnya dengan rakan sekelas, Vanidah boleh cuti daripada bekerja bila dia mahu tetapi hormatnya tidak terhingga kepada pelajar yang bekerja dari jam 9 pagi ke 5 petang dan tidak pernah ponteng kelas selepas waktu pejabat. “Kalau saya rasa susahnya nak siapkan tugasan kelas, bayangkanlah mereka? Waktu saya fleksibel, tetapi mereka ini perlu bekerja, jaga anak, belajar dan mampu capai keputusan cemerlang dengan mata 3.8 atau 4! “Sewaktu Rashidi belajar untuk ijazah sarjana muda, dia memiliki seorang teman sekelas yang akan turun ke Serdang (UPM) dari Kedah setiap hujung minggu untuk hadiri kelas. Dan dia adalah antara pelajar cemerlang. Kalau dia boleh menempuh perjalanan ulang-alik demi pengajian, saya di Kuala Lumpur ini tak bolehlah beralasan,” katanya yang suka mencabar diri. Baginya, pelajar sebegini yang menjadi penanda aras dan dia tidak mahu mudah mengalah. Vanidah memegang kata-kata live life to the fullest. “Apa maksudnya? Lakukan apa yang anda ingini untuk DIRI ANDA, jangan tunggu sudah berumur baru nak lakukannya. Jangan menyebut ‘kalaulah aku…’ kalau nak, buat saja supaya anda tak kesal di kemudian hari,” ujarnya. Wanita ini berkata, dia cukup bertuah kerana Rashidi bukan lelaki yang akan menghalang atau akan mempersoalkan kenapa isteri kesayangannya perlu sambung belajar atau tanya kegunaan ilmu dipelajarinya. “Rashidi cukup faham dan tahu apa impian saya dan dia tidak pernah suruh saya berhenti.” Malah, dengan anak-anak mereka, Vanidah selalu berpesan jangan sebut ‘tidak boleh’ dan perlu berfikiran positif. Dan bila ditanya jika gagal pula bagaimana? “Tidak mengapa, asalkan anda sudah usaha secukupnya. Melainkan anda langsung tidak mencuba kemudian gagal pula. Barulah timbul soal ‘kalaulah aku…’, itu mampu membunuh jiwa anda sebenarnya…” jelasnya.

Rezeki Raut Jelita

Perkataan jelita dengan Vanidah seakan sinonim apatah lagi kesan jolokan nama ‘wanita Melayu terakhir’ sempena filem yang pernah dilakonkan, masih rapat dengan dirinya. Tahun lalu, aktres ini telah dipilih menjadi selebriti pengguna Safi Rania Advanced Corrector, rangkaian produk penjagaan wajah antipenuaan yang menurutnya, cukup serasi dengannya.

Kemeja, Jovian Mandagie. Rantai, Aisha Wong Accessories. Seluar, Zara. Subang, milik penata gaya.

“Saya gembira kerana dapat bersama mereka. Selepas mencuba produk ini, saya mahu sarankan pada semua wanita untuk memilikinya terutama sekali Serum Rawatan Intensif Safi Rania Advanced Corrector. Ianya amat versatil, saya gunakan juga sebagai pelembap malah asas solekan. Hinggakan ada yang bertanya, kenapa wajah nampak berseri? Kalau anda lihat betul-betul, serum itu memiliki partikel kecil yang seakan berlian, jadi bila disapu di wajah memang akan nampak bersinar,” jelasnya. Mengimbas kembali mulanya perjalanan sebagai personaliti Safi Rania Advanced Corrector, Vanidah memberitahu yang mereka pernah merisiknya satu ketika dulu tetapi pada waktu itu, dia belum benar-benar bersedia. Namun selepas menyelidik sendiri dan mendapat tahu yang produk ini diformulasi secara tempatan, bahan yang digunakan sejajar dengan kehendak panduan halal, dia terus jatuh cinta. “Untuk menjadi seorang jurucakap, anda kena yakin dengan produk yang diwakili kerana ia sebahagian daripada dakwah. Saya tidak mahu menjadi ‘duta’ tetapi tidak sepenuhnya yakin dengan kemampuan produk atau tertanyatanya jika ia berbahaya kepada pemakainya, itu bukanlah dakwah kalau ia mampu membinasakan orang lain. “Saya mahu jadi duta yang bila orang tanya saya guna atau tidak, saya boleh dengan yakin jawab ‘ya, saya pakai.’ Saya tiada masalah nak bercerita lanjut mengenai produk ini kerana saya tahu kemampuannya. Malah ipar saya turut mencuba dan dia sukakannya, tiada masalah,” jelasnya dan disebabkan itu Vanidah adalah antara selebriti yang tidak melakukan reviu di Instagram kerana dia percaya, ia berkaitan dakwah bukan semata-mata untuk buat duit. “Pengikut di media sosial percaya pada anda, dan kalau saya benar-benar suka pada sesuatu produk itu, saya akan muat naik dan kongsi, tak perlu ada sesiapa membayar saya.” Buat anda yang tertanya akan rahsia kejelitaannya, Vanidah memberi nasihat supaya memulakan penjagaan antipenuaan daripada awal. Bila anda sudah mencecah umur pertengahan 20-an, katanya, perlu mula meninjau produk antipenuaan yang sesuai, bergantung kepada keadaan kulit dan genetik. Jika sudah diketahui secara genetik mudah ada kedutan, wajar mula awal. “Jangan lupa gunakan krim tabir suria. Saya beruntung kerana memiliki darah keturunan India jadi sukar kena pigmentasi,” akuinya. Melihatkan Vanidah sewaktu penggambaran muka depan ini dan waktu temubual, tampak perubahan jelas pada kulit wajahnya yang lebih licin dan berseri secara semula jadi. Lagi satu pesan Vanidah, jika muka anda tiada masalah, tidak perlulah melakukan facial. Jaga saja sebaiknya di rumah, sudah memadai.

Rutin Sihat Untuk Tubuh Mantap

Menurut Vanidah, dia adalah pengamal senaman yoga tegar kerana akan cuba sedaya upaya peruntukkan masa untuk ke kelas yoga dua ke tiga kali seminggu dan setiap hari, dia akan melakukan senaman regangan. Bila ditanya mengenai fleksibiliti dan sejauh mana kemampuannya, Vanidah membuka album gambar dalam telefon bimbit untuk tunjukkan kepada kami, sambil berseloroh tidak gemar memuat naik di Instagram kerana tidak mahu melayan komen negatif sesetengah orang. Memang mengagumkan melihat regangan yoga yang mampu dilakukannya! “Saya memang tiada masalah hendak lakukannya kerana saya belajar daripada ayah sejak kecil. Dia selalu buat dan saya jadi penonton. Malah di sekolah, saya teringin mahu jadi ahli gimnastik tetapi mama tidak membenarkannya kerana perlu memakai pakaian ketat. Jadi, saya akan lihat ahli gimnastik sekolah termasuk Farah Hani Imran berlatih dan bila pulang rumah saya akan berangan sendirian yang saya juga boleh buat sepertinya (ketawa). “Dan bapa turut ajar saya teknik betul untuk yoga seperti ‘terapung di udara’ dan melengkung belakang, semua itu saya belajar sejak usia muda jadi sekarang, tiada masalah. Bila ia membabitkan fleksibiliti saya boleh buat. Namun, saya akui sesetengah gerakan masih gentar hendak cuba seperti posisi kala jengking kerana bimbang kaki terjatuh ke depan dan nanti patah pinggang pula! Semuanya dalam fikiran jadi makan masa sedikit,” katanya. Vanidah turut mengimbau kembali detik menakutkan terkena slip disk kirakira tiga tahun lalu di mana doktor sendiri mengesahkan dia mungkin tidak dapat lagi berlari dan sertai maraton lagi. “Sedih tidak terkata bila mengetahuinya hingga menyangka saya tidak lagi akan normal seperti dulu. Tetapi saya buat rawatan dengan pakar kiropraktor malah menggunakan internet sebagai rujukan. Selepas membenarkan tubuh pulih kembali saya mulakan dengan yoga dan ia membantu, buat dengan perlahan-lahan tengok sakit atau tidak. Hanya selepas tiga bulan saya mula berlatih untuk berlari semula dan selepas seminggu saya cuba berlari perlahan-lahan, uji kemampuan diri. Pada masa itu, saya tidak mengharapkan sebarang keajaiban tetapi tubuh akan memberitahu cara untuknya sembuh, dan anda akan dengar dan turut katanya,” katanya.

Pengalaman Ngeri Mengajar Diri

Benar juga kata orang, pengalaman yang benar merobek diri dan hampir meragut nyawa akan memberi kesedaran yang sukar lekang dalam hati. Bagi Vanidah, ‘kematian’ kereta Mini Cooper yang dimenangi bersama suami setelah menjuarai program tarian Sehati Berdansa cukup memberi kesan pada dirinya. “Sejak peristiwa itu, saya belajar untuk tidak terlalu sayang harta duniawi dan saya mula menjalani kehidupan dengan lebih relaks, tidak terlalu meletakkan harapan tinggi... Sama ada kerjaya atau hidup, saya tak perlu mahu mengipas sesiapa untuk mendapatkannya, kerana setiap perkara telah ditentukan oleh Yang Maha Esa. “Semasa kejadian, saya menangis namun tidak trauma. Hanya sedih kerana kereta sedang terbakar dan tiada apa boleh dilakukan untuk selamatkannya. Sudahlah tiada alat pemadam kebakaran, bomba pula terlewat kerana laluannya jauh. Bayangkan saya duduk di tepi jalan melihat enjin mula terbakar dan dalam hati ‘cepatlah sampai kerana boleh lagi buat overhaul enjin,’ dan tiba-tiba tayar kanan meletup pecah. Saya pujuk hati tidak mengapa boleh diganti lagi. Dan tayar sebelah kiri pula meletup sebelum cermin depan, hati saya remuk kerana membayangkan jeritan meminta pertolongan kereta itu. Selepas kejadian itu, cincin kahwin pula hilang dan dompet pula dicuri. Tetapi itu adalah sewaktu insiden, kini saya fikir itu semua harta dunia, hilang bermakna bukan rezeki kita dan kini saya lebih sedar diri.”

Teks & Penyelaras ANIDA SALWANI ABDUL HADI Pembantu Penyelaras AIN MAHTHIR & AYU NADIRAH AYUB Pengarah Seni ZULKIFLI SULAIMAN & YANTIE BASHARUDIN Foto BRIAN FANG DI M8 STUDIO Solekan KHIR KHALID Dandanan CKAY LIOW Saksikan klip di sebalik tabir di jelita.com.my/ selebriti

Keluarga jadi tunggak kekuatan bagi Vanidah.

Rashidi bersama anak terunanya, Mikhael dan anak daranya, Maryam. Insiden kereta kesayangan Vanidah punah dalam kebakaran.

Serum Rawatan Intensif Safi Rania Advanced Corrector, 30ml, RM62.85 Krim Antipenuaan SPF27PA++ Safi Rania Advanced Corrector, 30g, RM46.10 Booster Peremajaan Sel Safi Rania Advanced Corrector, 30ml, RM70.30

“Sebagai anak seni, ibu dan suri keluarga, tidak dinafikan peranannya amat mencabar untuk pastikan urusan terlaksana dengan baik. Bagi wanita 40-an seperti saya, mengembalikan keanggunan raut wajah adalah impian serta langkah untuk tampil yakin agar lebih mudah menyahut cabaran sepanjang hari. Sesibuk mana sekalipun, saya sentiasa akan berikan ruang untuk memanjakan diri terutama pada wajah. Syukurlah ada Safi Rania Advanced Corrector. Keanggunan dan keremajaan kulit dapat diabadikan dengan Fromulasi Nano Diamond DNA Technology yang bertindak pada peringkat sel lantas menghasilkan dua kali ganda kolagen dan elastin. Kini, rahsia keanggunan kulit wajah saya boleh anda perolehinya bersama,” kata Vanidah.

Blaus dan seluar, Zara Kasut, InnaiRed

Usia perkahwinan Vanidah dan Rashidi mencecah 15 tahun. Hendak tahu rahsia kebahagiaan mereka? Tip rumah tangga penuh kasih sayang? jelita.com.my/ selebriti untuk kisah cinta mereka ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.