12 HELAH CANTIK

Walau Kurang Tidur

Jelita - - Cantik -

Ketika diulit mimpi, kulit melakukan pelbagai proses pembaikan sel yang mengurangkan iritasi kulit. Tidur yang cukup juga membantu menjadikan kulit wajah kelihatan lebih sihat. Namun, ada ketikanya anda tidak boleh menghindari situasi kurang tidur kerana terdapat pelbagai halangan dan cabaran yang perlu dilalui. Usah risau, ada 12 helah mudah untuk mengembalikan wajah bugar dan berseri, walaupun anda kekurangan tidur.

Lena yang cukup memerlukan tujuh atau lapan jam sehari. Ianya penting bukan sahaja untuk kesihatan tubuh malah memastikan kulit tampak berseri semula jadi. Tidur yang tidak cukup boleh menyebabkan munculnya jerawat, mata sembap, lingkaran gelap bawah mata dan wajah menjadi pucat.

1 MATA TAMPAK BUGAR

Bila kurang tidur kelopak mata terasa berat dan mengantuk. Jangan gusar, ada caranya untuk bantu anda kelihatan lebih segar dan tidak keletihan. Gunakan eyelash curler sedekat mungkin dengan akar bulu mata dan kepit selama 10 saat. Tambah layangan maskara dua lapis dan penggaris mata putih di bahagian dalam sudut mata untuk mendapatkan hasil wajah tampak segar.

2 PEMERAH PIPI

Pilih pemerah pipi rona kuning kemerahan (seperti pic) untuk beri efek mencerahkan pada wajah secara cepat. Rona ini membuatkan kulit nampak lebih bercahaya dan mengalihkan perhatian daripada lingkaran hitam bawah mata. Pemerah pipi bertekstur krim memberi kesan lebih bersinar pada kulit. Gunakan pada bahagian atas pipi dan ratakannya.

3 PELEMBAP BERWARNA

Hindari wajah daripada kelihatan seperti memakai topeng kerana menggunakan bedak asas yang tebal dan berlebihan. Gunakan pelembap berwarna yang dilengkapi SPF untuk menyamarkan kemerahan tanpa membuatkan riasan kulit nampak terlalu tebal. Tambahkan lapisan kedua dengan menggunakan concealer untuk menutupi lingkaran gelap mata atau noda yang masih kelihatan.

4 KURANGKAN KEMERAHAN MATA

Selain mata sembap, lingkaran hitam di bawah mata dan penyebab lain memberi kesan pada wajah anda, kemungkinan mata boleh menjadi kemerahan akibat keletihan. Legakannya dengan memakai pupur mata dingin (yang disimpan dalam peti sejuk) sebaik bangun daripada tidur. Ataupun, titiskan eye drop pada bila-bila masa yang diperlukan untuk melegakannya.

5 KRIM PERAWATAN MATA

Jika mata masih kelihatan bengkak walaupun telah menggunakan krim yang disyorkan, cuba guna krim perawatan mata. Untuk lebih berkesan dan rasa dingin, simpan krim perawatan mata di dalam peti sejuk. Kemudian sapu pada bahagian mata yang sembap tadi.

6 LEBIH BERSERI

Wajah tampak lebih segar dengan olesan gincu rona terang. Sama seperti pemerah pipi tadi, mata yang memandang wajah anda fokus pada bibir dengan rona gincu yang menarik. Namun anda perlu pastikan gincu sesuai dengan rona kulit. Layari jelita. com.my untuk ketahui gincu sesuai dengan rona kulit wajah anda.

7 DANDANAN RAMBUT

Tidak sempat untuk mencuci rambut? Guna syampu kering untuk menghilangkan minyak pada rambut. Ia mudah digunakan, hanya semburkan pada rambut dan kulit kepala sahaja. Hasilnya, rambut seperti baru dicuci.

8 KUNCI KELEMBAPAN

Kekurangan tidur boleh menyebabkan kulit kering dan menggelupas pada keesokan paginya. Guna pelembap pada wajah selepas membersihkannya untuk mengunci kelembapan kulit dan menghindari kulit wajah daripada mengering dan menggelupas sepanjang hari.

9 YAKINI SEMBURAN WAJAH

Basuh wajah dengan air sejuk kerana ianya boleh menyebabkan pembuluh darah mengecut dan seterusnya menjadikan kulit lebih mulus dan berseri. Pilihan lain, semburan wajah yang boleh memberi kesan menyegarkan tanpa merosakkan solekan.

10 KURANGKAN SEMBAP

Anda fikir mampu kurangkan bengkak mata dengan hanya menggunakan solekan? Tidak sebenarnya. Kesan mata sembap mampu mencacatkan hasil solekan anda. Kurangkan bengkak mata dengan meletakkan sesuatu yang sejuk pada mata anda. Cuba gunakan uncang teh dan sudu yang disejukkan serta hirisan timun.

11 CAMPURAN SUSU DAN AIS

Rendam tuala kecil dalam campuran susu dan ais. Perah tuala kecil tadi dan letakkan pada wajah selama lima minit. Kemudian bilas. Kombinasi pH susu ditambah dengan kesejukan ais membuatkan wajah tampak lebih berseri.

12 PADUAN BENTUK WAJAH

Tambah bronzer rona gelap untuk mewujudkan ilusi bentuk wajah bertujuan mengurangkan mata bengkak yang jelas kelihatan. Sapukan bedak bronzer atau bedak asas lebih gelap daripada rona biasa yang anda pakai pada bawah tulang pipi, di bahagian rahang dan sisi kiri dan kanan dahi. Adunkan menggunakan berus.

Lagi tip wajah berseri di jelita.com.my/ kecantikan

Guerlain Spring Glow Collection 2016 Blusher, (harga tidak dinyatakan)

Pure Beauty White & Bright Eye Cream, RM42.90

Guna For Beloved One Melasleep Brightening Daily Defence Cream (Peach), RM135. Ia sesuai untuk mempertingkatkan asas solekan bagi tona kulit kelihatan semulajadi dan seimbang.

Catrice Luxury Lashes Volume Mascara, RM24.90

Guardian Bye Bye Puffy Eye Mask, RM1.98

L’Occitane Shea Face Comforting Mist, RM60

Dior Rouge Baume, RM108

Shiseido BioPerformance Glow Revival Cream, RM392.29

Percy & Reed No Fuss Fabulousness Dry Shampoo, RM63

Make Up Forever Pro Sculpting Palette, RM255

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.