Siti Azuraina Sheik Omar

Jelita - - Personaliti -

Berasal dari Kota Bharu, Kelantan, wanita yang lebih mesra dengan panggilan Zura ini bercerita serba sedikit mengenai rutin hariannya yang bermula seawal jam 4.15 pagi setiap hari. “Slot pagi memerlukan saya berada di konti jam 6 pagi setiap hari. Oleh kerana rumah saya jauh dari pejabat, saya perlu keluar rumah jam 4.45 pagi dan tidur pula hampir tengah malam. Justeru, saya hanya tidur beberapa jam sehari menyebabkan keadaan kulit saya agak bermasalah,” ujarnya.

1 Bagaimanakah Zura menyelesaikan masalah kulit yang dihadapi?

Ya, semenjak bertugas awal pagi kulit saya mula menjadi kering dan kusam. Kemudian saya mengambil keputusan untuk bertemu pakar bagi menyelesaikan masalah kulit yang dihadapi. Saya diberitahu, masalah ini berpunca daripada tidak cukup tidur dan kandungan air dalam badan juga kurang. Jadi sebagai penyelesaian, saya perlu minum air empat liter sehari dan memperbaiki corak pemakanan dengan mengurangkan pengambilan makanan berminyak.

Memulakan karier sebagai penyampai radio di Kelantan FM (RTM) pada 2009 dan seterusnya berkhidmat pula dengan THR Gegar sehingga kini, wanita berusia 32 tahun ini cukup mesra bila disapa dan tidak lokek berkongsi ilmu penjagaan diri, kesihatan dan kecantikan.

2 Ada ambil makanan tambahan?

Saya ambil kolagen dan vitamin C. Bila usia meningkat, kadar kolagen juga mula berkurangan. Jadi sememangnya saya perlukan makanan tambahan seperti ini untuk membantu kulit kekal cerah dan kelihatan muda remaja.

3 Apakah produk penjagaan wajah yang sentiasa anda gunakan setiap hari?

Saya tidak pernah tinggalkan rutin memakai krim siang dan pelembap. Walaupun ketika berada di rumah ataupun beraktiviti luar, saya tetap gunakan kedua-duanya.

4 Bagaimana pula penjagaan kulit di sekitar mata?

Bila kurang tidur, masalah seperti lingkaran gelap bawah mata dan sembap akan terjadi. Saya menggunakan serum mata untuk menyelesaikan masalah ini.

5 Jika wajah ditumbuhi jerawat, apakah yang anda akan lakukan?

Tip dari ibu saya sendiri bila wajah ditumbuhi jerawat, sebelum tidur, letakkan sedikit gincu yang mengandungi pelembap pada jerawat. Keesokan paginya, jerawat akan kecut.

6 Alat solek kegemaran Zura?

Berus kecil yang memudahkan tugas merias pembayang mata. Selain itu, gincu rona merah dan nude juga sering menjadi pilihan saya.

Shiseido Bio Performance Glow Revival Eye Treatment, RM217.30 Hada Labo Hydrating Light Cream, RM65.90 Ikuti video eksklusif bersama Zura di TV Jelita di jelita.com.my

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.