KASIH IBU

Tal Pernah Luntur

Jelita - - Fokus -

Kasih ibu membawa ke syurga; kasih bapa sepanjang masa. Ibu adalah insan mulia yang tidak pernah surut dan luntur kasih sayangnya terhadap anak. Begitu besar dan hebat tugas serta tanggungjawab ibu terhadap anak dan keluarga. Betapa besar jasanya, tidak akan terbalas dengan jutaan wang ringgit biarpun segunung intan diberikan kepadanya.

Kisah hidup Hariyati Ariffin, 55, yang sanggup berkorban apa saja demi anak pertama yang memerlukan perhatian kerana mengalami kemurungan sejak 10 tahun lalu, boleh dijadikan semangat dan pengajaran buat mereka yang melalui nasib yang sama. Baginya, anak adalah keutamaan dan tiada apa pun yang dapat menghalang dia daripada memberikan yang terbaik untuk anaknya itu. Hariyati lebih memahami nilai kasih sayang dan pengorbanan seorang ibu terhadap anak apabila anak sulungnya, Farah, 34, mengalami masalah kemurungan sejak berusia 24 tahun. Bagi Hariyati, dia menerima semua ini sebagai takdir Allah, walau di dalam hatinya tetap rasa sedih dan agak terkilan kerana suatu ketika dulu Farah atau lebih mesra dipanggil Kak Long adalah anak yang bijak dan menjadi kebanggaan keluarga. Hariyati juga memahami dari menerima semua ini sebagai sesuatu yang telah tersurat dan tersirat dalam kehidupannya. Apabila Farah mengalami kemurungan sejak 10 tahun lalu, banyak perubahan berlaku dalam dirinya. Farah seolah-olah bukan dirinya sendiri, dia banyak menyendiri dan tidak suka bergaul dengan orang lain serta berkelakuan agak aneh. “Sejak dilanda kemurungan Kak Long banyak berubah. Dia tidak rapat lagi dengan adik-beradiknya yang lain. Di suka marah dan sentiasa naik angin tidak tentu pasal. Emosinya sukar diramal. Adakalanya jika dia marah, semua barang dia buang dan tidak dapat mengawal emosinya sehingga menyebabkan kerosakan di dalam rumah. Keadaannya membuatkan saya rasa sedih, tapi saya terima dugaan besar ini sebagai ujian dari Yang Maha Esa. Apa pun yang terjadi saya mesti kuat menghadapinya,” katanya. Hariyati memberitahu, sikap Kak Long terlalu banyak berbeza sebelum dilanda kemurungan. Dulu dia seorang anak yang baik, menghormati orang tua, lemah lembut, sopan dan pandai mengambil hati semua orang. Jika Hariyati dan suami sibuk, dialah yang akan mengambil tanggungjawab menjaga adik-adiknya. Kak Long bukan saja anak yang baik, malah dia juga pelajar pintar di sekolah. Sebagai ibu, suatu masa dulu Hariyati cukup bangga dengan pencapaian dan peribadi mulia yang ditunjukkan anak sulungnya itu. Namun, keadaan berubah bila Kak Long disahkan menghadapi kemurungan dua tahun selepas tamat pengajian ijazahnya dalam bidang Kejuruteraan Komputer. Di awal penyakit kemurungannya dia mula berubah. Daripada seorang yang peramah, dia lebih banyak mendiamkan diri dan suka menyendiri. Malah, hubungan dengan adik-beradik yang lain juga tidak mesra seperti dulu. “Saya mula berasa pelik, namun tidak menyangka dia menghadapi masalah kemurungan dan akhirnya disahkan sakit mental. Dari 2006 dia mula menunjukkan perubahan sikap sedikit demi sedikit. Selepas tamat pengajian, dia sempat bekerja sekejap. Namun, waktu itu dia sudah menampakkan ciri-ciri kemurungan di mana dia jadi malas bekerja dan menjadi cepat marah serta suka memberontak. Tidak lama selepas itu, Kak Long meletakkan jawatan,” ujar Hariyati. Kata Hariyati, penyakit kemurungan Kak Long biasanya menyerang dua kali seminggu. Dia menjadi seorang yang sangat agresif dan suka mengeluarkan kata kesat kepada keluarganya. Selain itu, barang di dalam rumah juga akan menjadi bahan dia melepaskan geram. Hariyati tahu, itu bukan kehendak dan kebiasaan Kak Long, tapi disebabkan kemurungan dia jadi begitu. Lazimnya apabila Kak Long diserang keadaan itu, Hariyati akan jadi individu pertama yang akan dicari dan jadi tempat dia melepaskan kemarahan itu. “Melihat sikapnya itu, saya membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Saya pernah memasukkan Kak Long ke pusat mental selama beberapa bulan. Di sana, Kak Long menunjukkan perubahan sikap yang ketara. Dia menjadi lebih tenang, malah tidak pernah marah. Dia mampu ikuti semua aktiviti dan berupaya menguruskan diri sendiri dengan sempurna,” kata Hariyati. Melihat perubahan positif yang ditunjukkan, Hariyati membawa Kak Long pulang ke rumah. Tetapi, beberapa bulan berada di rumah, kemurungannya datang kembali dan dia bertukar sikap seperti sebelum itu. Pelbagai usaha telah dilakukan bagi mengubati penyakit Kak Long. Tidak hanya menerima rawatan di hospital, Hariyati juga banyak mencuba rawatan alternatif seperti perawatan Islam dan perubatan tradisional bagi melihat Kak Long sihat seperti sediakala. Namun, segala usaha yang dilakukan belum membuahkan hasil, malah Kak Long tetap sama.

“Sejak dilanda kemurungan Kak Long banyak berubah. Dia tidak rapat lagi dengan adik beradiknya yang lain. Di suka marah dan sentiasa naik angin tidak tentu pasal. Emosinya sukar diramal.”

DUGAAN DARI ALLAH

“Suatu ketika dulu, Kak Long pendengar setia saya. Kalau ada apa-apa, pasti saya akan ceritakan kepadanya. Kalau saya berdepan dengan masalah, dialah yang banyak menasihati saya. Mungkin disebabkan itu dia menjadi tertekan dan sering memendam rasa,” katanya. Hariyati jarang dapat meneka apa yang bermain di fikiran Kak Long. Lebih-lebih lagi Kak Long bukanlah anak yang akan meluahkan apa yang ada di dalam fikirannya atau sekiranya tidak berpuas hati dengan sesuatu, dia lebih gemar memilih untuk diam. Jadi sebagai ibu, situasi itu menguatkan lagi andaian Hariyati mengenai penyakit yang dihadapi anak sulungnya itu. Kak Long atau Farah juga seorang yang sangat sensitif. Jiwanya cepat terguris dan mudah membuat andaian sendiri. Mungkin ini antara penyebab dia menjadi murung. “Saya pernah bertanya kepada doktor yang merawat Kak Long, apa punca Kak Long menghidap kemurungan. Tetapi, tiada jawapan pasti diberikan doktor dan jelasnya penyakit ini boleh terjadi disebabkan banyak perkara. Mungkin tabiat Kak Long yang suka membaca bahan bacaan yang serius sejak kecil menjadi antara puncanya. Dia gemar membaca bahan mengenai kematian, syurga, neraka, perang, pergolakan dan sebagainya. Kemudian, dia akan menghayati setiap ayat itu dan berfikir mendalam mengenainya,” tambahnya lagi. Kata doktor, kemurungan tiada ubat. Pesakit hanya diberi ubat untuk mengawal kemurungan mereka sahaja. Selebihnya terpulang kepada si pesakit bagaimana mahu melawan penyakit ini. Hanya mereka sahaja yang boleh mengawal perasaan mereka. Sudah pasti, persekitaran memainkan peranan yang penting. Sokongan daripada keluarga amat perlu bagi membantu pesakit untuk kembali normal. Pertolongan serta sifat memahami setiap ahli keluarga adalah ubat terbaik dalam membantu mereka menjadi normal. Itulah yang menjadi halangan buat Kak Long kerana masih ramai yang belum memahami keadaannya pada ketika ini. “Kak Long secara luarannya memang nampak normal, tiada cacat celanya. Namun, sebenarnya fikiran dia sudah tidak normal. Rata-rata yang berjumpa dengannnya masih belum faham keadaan Kak Long. Pelbagai andaian bermain di fikiran mereka. Memang dia nampak seperti orang biasa tapi perlakuannya adakala sukar untuk diramal dan boleh menyebabkan orang salah anggap terhadap Kak Long,” ujar Hariyati dengan nada sayu. Sebenarnya Kak Long tidak sedar apa yang dilakukannya jika tibatiba dia melenting dan mengamuk tidak tentu pasal. Andai dia sihat, pasti dia tidak berkelakuan sebegitu kerana Kak Long cukup menjaga maruah dirinya. Dia cukup sayangkan Hariyati. Jadi mana mungkin dia sanggup mengguris hati si ibu yang melahirkannya. “Sudah menjadi tanggungjawab saya untuk memberitahu orang ramai dan masyarakat yang tidak faham akan situasi sebenar anak saya. Sebab itulah saya sanggup berkongsi pengalaman dan cerita mengenai Kak Long agar ramai yang tahu dan faham mengenainya. Secara tidak langsung mereka juga boleh membantu saya. Tidak dinafikan ada yang menganggap saya membuka pekung di dada menceritakan aib anak saya. Namun saya tahu dengan berkongsi kisah Kak Long saya dapat berkenalan dengan mereka yang mempunyai anak seperti Kak Long dan bolehlah saya mendalami perasaan mereka yang senasib dengan saya,” kata Hariyati.

TERIMA DENGAN REDHA

Ibu mana yang tidak sedih apabila anak yang dilahirkan dan dibesarkan dengan sempurna lebih 20 tahun tibatiba menjadi sedemikian rupa. Pilu hatinya hanya Allah SWT sahaja yang tahu apabila melihat keadaan Kak Long sekarang. Tetapi apakan daya, ini sudah ketentuan dari Yang Maha Esa. Hariyati terpaksa pendamkan rasa sedih dan pilu ini seorang diri. Pernah terlintas di hatinya, Kak Long jadi begini disebabkan salah dirinya. Namun, Hariyati cepat tersedar dan menganggap ini dugaan hidup untuk menguji sejauh mana kesabaran dia menghadapi semua ini. Malah, kawankawan yang mengenalinya juga banyak menasihati Hariyati supaya tidak terus menyalahkan diri sendiri. “Kak Long bukan sahaja anak, malah dia juga saya anggap seperti kawan. Dia sentiasa ada bersama walau ke mana saya pergi. Setiap kali dia marah, saya hanya biarkan sahaja. Saya tidak akan menghalang jika dia mahu pecahkan barang. Biarlah rumah saya kosong tanpa perhiasan, berselerak dan rosak. Saya cuba untuk fahami keadaan dia dan tidak mahu menambah lagi kemarahannya,” Malah, di sebalik apa yang berlaku kepada anak perempuannya, dia kini sedar bahawa Allah SWT mahu dia kembali kepada fitrah hidup bersederhana dan tidak memandang kepada kebendaan.

“Sudah sampai satu tahap saya anggap harta yang saya miliki sekarang tidak membawa sebarang makna. Saya sudah tiada minat untuk membeli barang baru, malah barang yang rosak juga saya tidak ganti. Mana yang rosak saya dan suami perbaiki, namun selebihnya kami biarkan sahaja begitu. “Bagi saya, barang yang rosak boleh diganti baru, tetapi jika sesuatu yang buruk terjadi kepada Kak Long, tiada apa yang dapat menggantikannya. Selain menguatkan semangat, saya juga menjadi tempat rujukan kepada ibu yang senasib dengan saya. Ramai yang bertanya pendapat serta meminta saya berkongsi cara menangani anak seperti Kak Long,” ujar Hariyati. Baginya kunci berhadapan dengan dugaan Allah SWT ini ialah bersabar dan sentiasa tabah serta redha. Hadapi setiap dugaan ini dengan hati terbuka dan jangan putus asa untuk memberi yang terbaik kepada anak istimewa seperti Kak Long. Dia berpendapat setiap kejadian, musibah dan peristiwa dalam hidup pasti ada hikmah di sebaliknya. Baginya, Allah SWT menduganya begini untuk mendekatkan dia dan suami kepada-Nya. Hariyati juga percaya apa yang terjadi adalah pengajaran dan pengalaman hidup untuk menjadikan dia lebih tabah. “Walaupun saya rasa sedih saya pasti Kak Long akan mendapat ganjaran lebih besar dari Allah, kerana dia insan terpilih untuk melalui dugaan ini. Saya masih berharap Kak Long dapat kembali normal dan saya tidak akan pernah putus asa untuk berdoa serta berusaha demi melihat Kak Long kembali sihat. Saya sangat rindukan Kak Long yang dahulu dan saya harap sebelum akhir hayat biarlah dapat melihatnya pulih seperti sedia kala,” ujar Hariyati penuh harapan.

“Bersabar dan sentiasa tabah serta redha. Hadapi setiap dugaan ini dengan hati terbuka dan jangan putus asa untuk memberi yang terbaik kepada anak istimewa seperti Kak Long.”

Senyuman ubat terbaik untuk duka yang ditanggung.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.