‘Syed Azmi Small Lamb’

Jelita - - Inspirasi -

Dia bukan selebriti terkenal, tapi kini namanya sering menjadi sebutan dek khidmat baktinya kepada mereka yang memerlukan. Bahkan dia juga bukan jejaka yang mempunyai wang berjuta, namun dia insan yang kaya hati budi.

Seperti yang dijanjikan, akhirnya Jelita berpeluang untuk menemuramah pemilik nama Syed Azmi Alhabshi ini. Orangnya cukup peramah dan murah dengan senyuman. Malah, tidak lokek untuk berkongsi pengalaman dan cerita dengan pembaca. Tanyalah apa sahaja soalan, dia akan menjawabnya dengan senang hati. Usahanya membantu mereka yang memerlukan menarik perhatian ramai, terutama dalam kalangan pengguna Facebook yang mengikuti setiap ceritanya di laman sosial berkenaan. Setiap hari, pasti ada sahaja ceritanya membantu individu istimewa. Bagaimanapun, bantuan yang dihulurkan bukan dalam bentuk wang ringgit sebaliknya dia lebih suka membantu dengan cara memberikan kemahiran kepada mereka. Katanya, wang akan habis dibelanjakan, tetapi kemahiran boleh diguna dan dimanfaatkan hingga akhir hayat, sama seperti ilmu, boleh dimanfaatkan sampai bila-bila. Tambahnya lagi, dia tidak mahu memanjakan masyarakat dengan wang kerana banyak lagi perkara yang boleh dilakukan untuk membantu mereka meneruskan hidup. “Saya penat mendengar rakyat Malaysia mengeluh dan merungut, tapi mereka tidak mengambil sebarang tindakan untuk mengatasinya. Contoh, mereka marah apabila harga barang naik, kos sara hidup meningkat dan sebagainya, tapi mereka tidak berusaha untuk memajukan diri sendiri. Saya akan bantu individu yang sedang membantu serta berusaha untuk memajukan dirinya. Bukan membantu mereka yang tidak berbuat apa-apa,” kata Syed Azmi. Katanya, selain meluahkan rasa tidak puas hati, banyak cara lain yang boleh dilakukan bagi menjadikan Malaysia tempat tinggal yang lebih baik tanpa mengharapkan bantuan orang lain. Dia mahu menunjukkan kepada orang ramai, setiap perubahan boleh dilakukan sendiri tanpa perlu mengharapkan campur tangan orang lain. Jika dia mampu buat, pasti individu lain juga boleh melakukannya. Jangan harapkan orang lain jika mahukan kelainan yang lebih baik. Didik diri untuk melakukan perubahan dan usah mengharap atau menunggu untuk mendapatkan sesuatu yang diinginkan. Berhentilah mengutuk, menabur fitnah atau mencari salah orang lain yang akhirnya dikhuatiri memakan diri sendiri. Lebih baik cuba buat sendiri daripada mengharap. “Kita tidak boleh hanya menunggu dan lihat sahaja jika mahu sesuatu. Andai mahu membantu, bantulah dengan usaha dan kemampuan sendiri. Jangan harapkan orang lain. Biarpun usaha atau bantuan yang diberi itu nampak kecil, namun impaknya kepada individu itu cukup besar,” katanya. Katanya lagi, tidak salah sekiranya memberi bantuan kewangan dan makanan. Namun ramai yang tidak sedar bahawa bantuan jenis inilah yang membuatkan mereka yang dibantu menjadi semakin manja dan tidak berusaha untuk memajukan diri sendiri. Sebagai contoh, golongan gelandangan yang sering dibantu dalam bentuk pemberian makanan sehingga mereka tidak berusaha untuk keluar dari kepompong hidup sekarang. “Kalau betul anda mahu menolong golongan seperti ini, bagilah ilmu. Mereka suduh cukup banyak menerima bantuan jenis ini, tetapi keperluan ilmu dan kemahiran mereka masih kurang. Bantu mereka untuk keluar dari kehidupan yang susah dan bukannya menggalakkan mereka untuk terus hidup cara begitu. Kita mahu bilangan mereka berkurangan bukan semakin bertambah.” Tambahnya lagi, dia tidak pernah memberi wang kepada peminta sedekah. Sebaliknya, dia lebih suka bertanya apa yang dimahukan si peminta sedekah. Begitu juga bantuan yang diberikan kepada lapan mangsa banjir di Kelantan. Bukan wang yang dihulur, tetapi dia membuka ruang pekerjaan untuk mereka. “Seramai lapan mangsa banjir di sana kami tawarkan perniagaan untuk mereka. Kami tidak memberikan modal dalam bentuk wang sebaliknya menyediakan kelengkapan untuk berniaga seperti gerai, tong gas, minyak dan sebagainya. Keuntungan yang diperoleh pada hari itu pula digunakan sebagai modal sampingan. Dengan itu, mereka boleh meneruskan kelangsungan hidup dan dalam masa sama, menjana pendapatan harian mereka selepas semua harta benda habis musnah. Sekurangnya-kurangnya mereka belajar cara untuk mendapatkan wang,” ujarnya yang mengakui tidak mampu membantu semua orang, namun dengan membantu bilangan yang kecil itupun sudah cukup memuaskan hatinya.

“Wang akan habis dibelanjakan, tetapi kemahiran boleh diguna dan dimanfaatkan hingga akhir hayat, sama seperti ilmu, boleh dimanfaatkan sampai bila-bila.”

Acara Free Market merapat jurang hubungan kemasyarakatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.