Laluan Ampun Dua Hala

Jelita - - Isteri -

Ramai yang berfikir, dengan hanya menyebut “Maafkan saya, saya tak buat lagi dan saya masih sayang awak...” memadai dan cukup untuk menerima maaf. Namun, yang sebaliknya mungkin berlaku. Pasangan yang meminta maaf itu pastinya hairan, walaupun sudah berkali-kali meminta maaf, mengapa si dia yang telah dicurangi masih tidak dapat memaafkannya. Cara meminta maaf adalah satu proses dan bukan sekadar sebaris ayat yang diluahkan berulang kali. Prosesnya yang perit dan memakan masa ini, perlu didalami oleh kedua-dua pihak supaya mereka tahu cara mereka menyumbang kepada proses pemulihan ini. Pasangan yang curang itu harus mendengar dan menerima hakikat bahawa kelakuan melampaui batas itu telah menyakiti serta menakutkan pasangan anda. Apatah lagi merapuhkan kepercayaan yang telah dibina sejak dulu. Pasangan yang dicurangi perlu bersedia untuk menyuarakan kesusahan yang dialami hasil kelakuan pasangan yang melakukan curang. Ceritakan juga betapa situasi ini sukar dilupakan bagi dirinya kerana pasangan itu telah menghancurkan kepercayaan antara mereka. Perbincangan ini boleh dilakukan walaupun susah. Apabila pasangan yang dicurangi itu menunjukkan yang dia masih sayang dan masih mengambil berat kepadanya bermakna, masih ada harapan untuk meneruskan perhubungan. Ini bermaksud, forgiveness conversation ini dilakukan dengan keadaan selamat dan tenang. Meminta ampun dan maaf bukan hanya perlu dilakukan oleh sebelah pihak, ia adalah satu bentuk komunikasi dua hala. Ini perlu dilakukan apabila kedua-dua mereka sedar bagaimana mereka secara peribadi menyumbang kepada episod curang ini. Malah, kedua-dua mereka perlu memasang azam dan tekad untuk tidak lagi mengulanginya kerana masing-masing sedar betapa peritnya hati serta hancurnya kepercayaan akibat kecurangan yang dialami kedua-duanya. Hasilnya, barulah pasangan ini boleh mula meminta maaf antara satu sama lain kerana mula sedar akan kelemahan dan keburukan diri masing-masing. Daripada situ, kedua-duanya akan lebih bersedia untuk memperbaiki kelemahan itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.