Hamil

DI ‘TEMPAT YANG SALAH’

Jelita - - Perkahwinan -

Ectopic pregnancy atau kandungan luar rahim adalah situasi digeruni wanita sewaktu disahkan mengandung. Dalami ilmu supaya mampu menghadapinya dengan lebih baik sekiranya berlaku.

Hamil kali kedua, cukup menggembirakan. Setelah sekian lama menanti, akhirnya dia bakal menimang cahaya mata lagi. Harapannya semoga dia mampu melihat bayi ini lahir ke dunia namun apakan daya, impiannya musnah separuh jalan apabila doktor mengesahkan dia hamil luar rahim dan kandungannya perlu dibuang. Zatul Iffah Supian, 32, redha dengan ketentuan ini namun hatinya seakan serik menanggung pilu. Sekitar Julai 2015, haid Zatul mula tidak teratur. Sebelum ini normal tetapi kali ini keadaannya berbeza. Darah keluar sedikit tetapi berlarutan hingga 10 hari. Sehinggalah satu hari dia mula sakit perut. Mula-mula Zatul sangkakan masuk angin kemudian rasa sakit yang mencucuk-cucuk. Tidak lama selepas itu, rasa sakit itu semakin menjadi-jadi hingga sejuk seluruh badan. Zatul mula rasa loya dan seperti mahu pitam. Malah, lebih merisaukan dia tidak boleh membuang air besar. “Saya sangka saya demam, jadi hanya makan ubat penahan sakit sahaja. Tetapi, ia langsung tidak berkurangan. Akhirnya saya ke klinik berdekatan untuk membuat pemeriksaan. Pada mulanya doktor memberitahu saya diserang gastrik sehinggalah keputusan urin keluar, barulah saya tahu rupa-rupanya saya mengandung,” ujarnya. Alangkah gembiranya hati Zatul sewaktu menerima berita itu. Tidak sangka dia hamil lagi. Namun, pada masa sama dia risau kerana pendarahan masih tidak berhenti. Zatul bimbang kandungan ini tidak dapat diselamatkan memandangkan dia pernah keguguran sebelum ini. “Atas nasihat doktor, saya membuat keputusan untuk ke hospital pula. Selepas menjalani pelbagai pemeriksaan, doktor mengesahkan saya hamil luar rahim. Janin ada di tiub falopian sebelah kanan dan perlu dikeluarkan segera. Alangkah terkejutnya saya dengan berita itu. Apatah lagi, kandungan saya gagal diselamatkan kali ini,” ujar Zatu dalam nada sedih. Selepas mendengar penjelasan doktor dan diberitahu kandungan ini boleh mendatangkan mudarat jika diteruskan, Zatul redha. Kata doktor jika tidak dikeluarkan, janin akan membesar dan tiub falopian akan pecah. Keadaan ini akan menyebabkan pendarahan di dalam perut. “Akhirnya, saya perlu dibedah. Waktu itu kandungan berusia tujuh minggu. Jika tiada sebarang masalah, saya hanya perlu menjalani pembedahan kecil di mana, doktor perlu menebuk tiga lubang bagi mengeluarkan janin. Tetapi jika kes saya serius, pembedahan terbuka akan dilakukan,” kata Zatul. Sebaik sedar barulah Zatul tahu ruparupanya dia perlu menjalani kedua-dua pembedahan kerana ada organ yang melekat sewaktu melahirkan anak pertama. Selepas lima bulan pembedahan, kehidupan Zatul kini kembali normal. Luka pembedahan juga sudah sembuh. Cuma kadang-kadang masih terasa ngilu pada bahagian perut. Biarpun ovari sebelah kanannya dibuang, tetapi peluang untuk Zatul hamil lagi tetap ada.

Mula-mula Zatul sangkakan masuk angin kemudian rasa sakit yang mencucuk-cucuk. Tidak lama selepas itu, rasa sakit itu semakin menjadijadi hingga sejuk seluruh badan.

APA KATA DOKTOR?

Menurut Dr Sharifah Halimah Jaafar, Penasihat Kanan Bahagian Obstetrik dan Ginekologi di Hospital Pakar KPJ Ipoh, anggaran satu dalam 50 kehamilan, zigot (ketulan darah) yang terhasil akibat cantuman sperma dan telur gagal untuk bergerak ke dalam rahim pada jangka masa tertentu. Akibatnya zigot tersangkut di dalam salur falopian dan terbenam ke dalam dinding salur yang sempit. Salur falopian akan mengembang dan akhirnya pecah. Ini menyebabkan perdarahan dalaman yang serius. Keadaan ini sangat bahaya jika berlaku dan boleh mengancam nyawa anda. Kehamilan luar rahim memerlukan rawatan kecemasan.

SIMPTOM KANDUNGAN LUAR RAHIM

Jika mengalami gejala berikut, hubungi doktor dan segera ke bilik kecemasan. Jika kandungan luar rahim dapat dikesan pada peringkat awal sebelum pecah, rawatan segera boleh diberikan. Dengan itu mampu mengurangkan risiko pendarahan dan memelihara kesuburan anda.

* Turun darah dalam jumlah sedikit.

* Loya dan muntah.

* Sakit perut.

* Kejang perut.

* Sakit di sebelah badan anda.

* Pening atau badan lemah.

* Sakit bahu, leher atau rectum.

* Jika tiub falopian pecah, kesakitan dan pendarahan boleh menyebabkan pesakit pengsan.

BERIKUT ADALAH FAKTOR RISIKO KEHAMILAN LUAR RAHIM:

* Sejarah penyakit keradangan pelvis (PID).

* Penyakit seksual berjangkit seperti chlamydia dan gonorea.

* Kecacatan tiub falopian sejak lahir.

* Sejarah pembedahan pelvis (kerana parut boleh menyekat telur disenyawakan daripada meninggalkan tiub falopian).

* Sejarah kehamilan luar rahim.

* Ikat salur falopian untuk pensterilan (Bilateral tubal ligation).

* Pengambilan ubat kesuburan.

* Rawatan kemandulan seperti persenyawaan in vitro (IVF).

CARA SAHKANNYA

UJIAN DARAH BETA HCG Jika simptom dan tanda klinikal kurang jelas atau tiada langsung, tetapi doktor mengesyaki kehamilan luar rahim, ujian serum beta hCG dua siri boleh menentukan kesahihannya. Hormon beta hCG dirembeskan oleh tisu awal janin dan meningkat dua kali ganda (100 peratus) dalam masa 24 jam. Jika terdapat peningkatan paras hormon beta hCG dalam masa 48 jam tetapi kurang dari 60 peratus dari paras yang awal sebelumnya, maka kemungkinan hamil luar rahim sangat tinggi. Namun begitu ujian ini mengambil masa sekurang-kurangnya 48 jam sebelum rumusan boleh dibuat kerana harus mempunyai dua bacaan serum beta hCG dalam 48 jam. Pesakit biasanya ditahan di hospital untuk pemantauan rapi dan sebagai langkah berjaga-jaga.

DIAGNOSTIC LAPAROSCOPY

Kamera kecil fleksibel yang dimasukkan melalui umbilikus membolehkan doktor melihat secara terus ke dalam pelvis dan abdomen. Ini adalah prosedur yang sebaiknya untuk mengesahkan atau menolak kemungkinan kehamilan luar rahim. Pada masa sama jika kehamilan luar rahim itu dapat dilihat secara terus, doktor boleh membuat satu torehan ke atas salur falopian dan menyedut keluar kandungan itu (salphingostomy) atau terus dibuang bersama salur falopian yang terbabit (salphigectomy).

SECARA KLINIKAL

Setelah memeriksa sejarah kesihatan dan gejala dialami, doktor akan membuat pemeriksaan pelvik dan imbasan ultra bunyi. Jika doktor mengesyaki ada pendarahan dalaman dan tanda hamil luar rahim seperti sakit perut yang melampau, pucat dan pengsan, doktor boleh terus membuat pemeriksaan lanjut dan memberi rawatan kecemasan serta membuat persediaan untuk pembedahan segera.

Zatul Iffah Supian bersama suami dan anaknya.

Dr. Sharifah Halimah Jaafar

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.