Mudahkah memaafkan Pasangan Yang Curang?

Jelita - - Karier -

Di awal perkahwinan segalanya memang indah, namun melangkah tahun demi tahun barulah timbul retaknya. Tanggungjawab semakin besar dan keutamaan terhadap pasangan masing-masing juga mula beralih arah, terutama apabila lahir cahaya mata yang amat dinanti-nantikan. Maka bermulalah perasaan jauh hati terhadap pasangan. Jurang emosi mula terbentuk dan selalunya, anda akan mengambil pendekatan untuk tidak menghiraukannya kerana inilah pahit manis perkahwinan. Biasanya, anda akan pilih untuk menelan keadaan ini daripada membincangkannya secara terbuka dan jujur.

BILA HATI DILUKAI

Apabila lelaki berlaku curang, fikiran si isteri akan mula keliru dan wujud pelbagai prasangka serta lebih perit, hatinya menanggung luka yang tak terkata. “Peritnya apabila saya tidak lagi penting buat awak terutama sewaktu awak bersama dia. Awak sanggup mengambil risiko mengorbankan hubungan kita demi untuk berseronok dengannya. Bagaimana saya boleh meletakkan harapan atau percaya kepada awak lagi? Sanggup awak tipu saya dan hancurkan impian untuk bersama sampai syurga. Saya tidak boleh bersama awak lagi selepas awak berlaku curang dengan saya.” Itu antara luahan si isteri apabila dia mendapat tahu suami yang dicintainya mempunyai hubungan dengan wanita lain. Curang adalah satu krisis dalam perhubungan pasangan suami isteri. Namun ia juga satu peluang untuk memulakan semula hubungan dan kali ini perhubungan itu akan menjadi lebih baik dari yang sebelumnya. Ada kalanya krisis yang berlaku di dalam perhubungan membuatkan pasangan sedar dan memberi perhatian terhadap kelemahan yang wujud pada perhubungan mereka sebelum mengambil keputusan untuk membuat sesuatu yang mana sebelum ini diabaikan atau diambil mudah. Persoalannya bolehkah kita memaafkan pasangan dan meneruskan hidup bersama? Tidak dinafikan, ia agak sukar, namun tidak mustahil jika pasangan masih mahu meneruskan perkahwinan mereka dan ingin memulakan forgiveness conversation. Maka mereka ada potensi besar untuk meneruskan perkahwinan itu dan hubungan mereka akan lebih kukuh. Komunikasi antara mereka juga akan menjadi lebih baik dan ikatan yang terjalin pastinya lebih erat. Paling penting, membina semula kepercayaan yang telah hancur. Kebiasaannya, curang adalah simptom terhadap masalah perkahwinan yang lebih besar. Antara kemungkinan ini termasuk wujudnya keperluan emosi yang tidak dipenuhi oleh suami atau isteri, yang menghasilkan attachment injury. Terapi perkahwinan akan menolong pasangan ini mengutarakan isi hati masing-masing yang sebenar dalam keadaan selamat dan tenang tanpa menuding jari sambil menyalahkan satu sama lain.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.