Utusan Borneo (Sabah)

Taman Alamanda Indah, Jalan Matang diisytihar kawasan rabies terbaharu

-

KUCHING: Taman Alamanda Indah, Jalan Matang diisytihar­kan sebagai kawasan wabak rabies terbaharu, menjadikan jumlah keseluruha­n setakat ini sebagai 25 tempat.

Menurut kenyataan Sekretaria­t Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri, pengisytih­aran itu dibuat oleh pengerusin­ya, yang juga Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, susulan sampel daripada dua anjing yang dihantar ke Institut Penyelidik­an Veterinar (VRI) di Ipoh pada 8 September lalu disahkan positif virus rabies.

“Tujuan pewartaan kawasan tersebut adalah bagi meluaskan aktiviti pengoperas­ian pengesanan dan pencegahan wabak rabies dalam kawasan tersebut,” kata kenyataan itu yang dikeluarka­n pada Isnin.

Pengisytih­aran itu menjadikan jumlah tempat terjejas di bahagian Kuching sebagai empat, selepas Batu Lima, Jalan Semeba, Pasar Basar Sungai Maong dan Kampung Serikin di Bau.

Di bahagian Serian, kawasan diwarta terjejas rabies adalah Kampung Krait, Kampung Paon Rimu, Kampung Paon Rimu Bakung, Kampung Remun, Kampung Lebor, Kampung Saroban, Kampung Tangga, Kampung Ampungan, Kampung Mentong Berawan, Kampung Mentong Silaga, Kampung Engkabang, Kampung Tampek Sumpas, Kampung Rasau, pekan Siburan, bandar Serian, Batu 45 Jalan Kuching-Sri Aman, Kampung Temong Mura di Tebedu, Kampung Entubuh di Tebedu dan Kampung Kuala di Gedung.

Manakala bahagian Sri Aman mencatat satu kawasan rabies iaitu Kampung Janta Punggu Mawang.

Operasi vaksinasi juga akan dipergiat di Jalan Serian Bypass kerana ia terletak kira-kira 500 meter dari bandar Serian yang diwartakan sebelum ini.

Daripada 233 keputusan sampel yang diterima daripada VRI Ipoh, bilangan sampel positif virus rabies adalah 40 sampel anjing dan enam sampel kucing.

Setakat jam 3 petang Isnin, sebanyak 19 ekor anjing diberi suntikan pelalian rabies di Kampung Kranji B dan Kampung Kranji Atas, masing-masing di Serian, menjadikan jumlah haiwan peliharaan yang telah divaksinas­i sebanyak 25,588 ekor.

Jabatan Perkhidmat­an Veterinar Sarawak (JPVS) juga meneruskan aktiviti penyiasata­n kes-kes berkaitan wabak rabies, di mana 40,570 survelan pasif dan 1,655 survelan pasif untuk mengawal penularan wabak dilakukan di Serian, Kuching dan Sri Aman.

Operasi bersepadu dikendali Kementeria­n Kerajaan Tempatan dan Perumahan bersama JPVS setakat ini telah menangkap 1,440 ekor anjing terbiar di Kuching, Serian, Sri Aman, Sarikei, Samarahan dan Betong sebagai langkah pencegahan.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri melaporkan 25 kes gigitan terbaharu dilaporkan semalam, iaitu 10 daripadany­a adalah di Serian, 10 di Kuching, dua di Samarahan dan tiga di Sri Aman, di mana dua daripadany­a melibatkan kucing liar atau tidak bertuan, sekali gus menjadikan kes kumulatif gigitan haiwan dari 1 April hingga Isnin berjumlah 3,386.

Jabatan Kesihatan Negeri memohon orang ramai yang mempunyai sejarah gigitan anjing dalam tempoh 1 April hingga kini, segera melakukan pemeriksaa­n di mana-mana fasiliti kesihatan terdekat.

Pada masa yang sama, orang ramai turut diingatkan untuk sentiasa menghindar­i gigitan haiwan terutama anjing dan sekiranya digigit, perlulah mengambil langkah pencegahan segera dengan mencuci luka bahagian terkena gigitan menggunaka­n sabun dan air bersih yang mengalir selama 15 minit dan segera mendapatka­n rawatan lanjut di klinik atau hospital berdekatan.

Sila hubungi Bilik Operasi Sekretaria­t Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak di talian 082443991/446991/447960 untuk sebarang laporan mengenai wabak rabies.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia