Sabah terus kerjasama dengan K’jaan Pusat

Utusan Borneo (Sabah) - - Muka Depan -

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan hak dan kepentingan rakyat Malaysia di negeri ini terus terpelihara.

Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman (gambar) berkata kerajaan negeri akan menggunakan cara dan pendekatan tersendiri dalam isu-isu dibangkitkan dan memastikan semangat sebenar pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 dapat dihayati pada setiap masa.

Beliau mengingatkan rakyat agar tidak terpedaya atau terpengaruh dengan dakyah serta provokasi pihak tertentu yang cuba mengeksploitasi isuisu berkaitan pembentukan Malaysia untuk kepentingan politik dan peribadi mereka.

“Justeru, kita perlu terus bersatu padu, bekerjasama dan berganding bahu dan mengelak sebarang perpecahan dan perbalahan, yang akhirnya merugikan negeri dan rakyat,” katanya dalam perutusan sempena Hari Malaysia 2017.

Musa berkata kejayaan cemerlang Malaysia ada temasya Sukan SEA barubaru ini, jelas membuktikan bagaimana rakyat negara ini dari pelbagai latar belakang bersatu hati atas nama bangsa Malaysia dalam memberikan sokongan yang padu dan jitu kepada pasukan Malaysia.

“Inilah semangat jatidiri yang perlu terus diperkukuhkan dalam hati sanubari kita,” katanya.

Musa berkata dalam konteks semangat perpaduan, Sabah merupakan contoh terbaik semangat 1Malaysia apabila lebih 32 kumpulan suku kaum, agama dan budaya dapat hidup dalam suasana yang aman dan harmoni.

Katanya, kesatuan dan semangat kekitaan yang bertapak kukuh inilah yang menjadi antara tunjang kejayaan pembangunan dan kemajuan negeri selama ini dan dalam fasa yang seterusnya.

“Kita akan terus memperhebatkan usaha-usaha pembangunan berteraskan sektor halatuju iaitu dalam bidang pertanian, pelancongan dan pembuatan, serta pembangunan modal insan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.