Tujuh remaja lelaki ditahan bantu siasatan kes kebakaran pusat tahfiz

Utusan Borneo (Sabah) - - Muka Depan -

KUALA LUMPUR: Polis menahan tujuh remaja lelaki bagi membantu siasatan kes Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Ujung, di sini, yang terbakar pada Khamis lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu.

“Ya, saya sahkan kesemua penangkapan berkenaan,” katanya ringkas.

Amar Singh berkata maklumat lanjut mengenai penahanan itu akan dibuat pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, dijadualkan pada 11 pagi ini.

Penahanan mereka, yang berumur dalam lingkungan 12 hingga 18 tahun, dipercayai untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya akan menyiasat setiap aspek termasuk unsur khianat bagi mengenal pasti punca kebakaran.

Maklumat mengenai penahanan tujuh remaja lelaki itu tular di laman sosial.

Tragedi ngeri kebakaran pada 5.15 pagi Khamis lepas meragut nyawa 21 pelajar dan dua warden, yang juga guru di pusat tahfiz berkenaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.