SELUDUP SECARA ONLINE

Cabaran baharu pasukan penguatkuasa hidupan liar Sabah

Utusan Borneo (Sabah) - - Muka Depan - Oleh SURAIDAH ROSLAN

KOTA KINABALU: Kaedah urusniaga dan penyeludupan hidupan liar melalui online yang berlaku di negeri ini antara cabaran baharu yang dihadapi pasukan penguatkuasaan hidupan liar di Sabah.

Doktor Haiwan di Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU) Jabatan Hidupan Liar (JHL) Dr Pakkeyaraj Nagalingam berkata, urusniaga secara online ini lebih bahaya kerana pembelian dan penjualan hidupan liar sebegini sangat mudah diakses oleh sesiapa sahaja yang mempunyai talian internet.

Biarpun pasukan WRU sudah mengenalpasti platform yang melakukan urusan jual-beli hidupan liar melalui Facebook dan WhatsApp namun, sukar untuk mengetahui jumlah sebenar platform sebegini yang ada di luar sana.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kertas kerjanya yang bertajuk

‘Perdagangan Hidupan Liar Haram: Cabaran kepada Penguatkuasa Hidupan Liar’ sempena Bengkel Keselamatan Alam Sekitar Maritim 2017, di sini barubaru ini.

Proses pembayaran pula dilakukan melalui transaksi bank mahupun bayaran tunai ketika barangan diterima.

Berdasarkan rekod jabatan itu, pihak yang terlibat dalam urusniaga hidupan liar ini termasuklah penjawat awam, guru serta orang kampung.

Jika dilihat kes yang pernah didakwa di mahkamah, penjual yang didakwa itu melakukan urusniaga menjual Harimau Bintang melalui

Facebook.

“Kami juga pernah merampas musang daripada seorang penjual di Tawau. Musang itu diletakkan dalam kurungan dan dibungkus sebelum dihantar melalui bas dari Tawau. Hidupan liar ini tidak diberi makan dan minum sepanjang perjalanan.

“Difahamkan musang itu dijual pada harga RM250,” jelasnya.

Ketika proses siasatan, ada antara penjual berkongsi pengalaman bagaimana mereka menangkap haiwan liar.

“Salah seorang peniaga yang menjual tenggiling memberitahu, tenggiling mudah ditangkap kerana haiwan itu akan bertindak menggulungkan anggota badannya ketika berada dalam bahaya.

“Kebanyakan tenggiling yang dijual dijadikan hidangan makanan eksotik untuk pelancong yang ingin menempah hidangan berkenaan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.