Program ‘Bermalam Di Muzium’ beri impak baik kepada peserta

Utusan Borneo (Sabah) - - Tempatan - Oleh KENNEDDY CORLLEUS

KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Pelancongan Kebudayaan Dan Alam Sekitar Datuk Kamarlin Ombi berharap program ‘Bermalam di Muzium’ yang julung kali diadakan serentak di seluruh muzium di negara ini mampu memberi impak yang baik kepada para peserta.

Menurutnya, program yang melibatkan golongan remaja yang sebahagian merupakan pelajar sekolah itu dilihat dapat memberi pendedehan kepada mereka tentang pengalaman hidup remaja pada suatu ketika dahulu.

Jelas Kamarlin, peredaran masa ke zaman yang lebih moden telah membawa mereka ke arah kehidupan yang mewah dengan adanya pelbagai kelengkapan yang mudah untuk diperolehi berbanding suatu ketika dahulu.

Justeru katanya, program yang diadakan itu bertujuan mendidik dan membentuk generasi muda untuk menghargai khazanah warisan negara sekaligus memupuk remaja untuk mengukuhkan semangat patriotik serta cinta terhadap negara.

“Kita mahu mendaulatkan budaya dan warisan negara di samping mengukuhkan peranan muzium sebagai sebuah institusi pendidikan tidak formal dengan mendekatkan golongan masyarakat khususnya para pelajar sekolah, “katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Perdana Bermalam Di Muzium 2017 di Kompleks Muzium Sabah, dekat sini pada malam Jumaat.

Hadir sama Pengarah Jabatan Muzium Sabah Sintiong Gelet, Pengarah Jabatan Pelindungan Alam Sekitar Haji Mohd Yusrie Abdullah dan Ketua Penolong Pengarah Rancangan Radio Narry Lako.

Dalam pada itu Kamarlin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lumadan berharap pelaksanaan program tersebut dapat memberi impak yang besar kepada masyarakat awam tentang kepentingan dan peranan muzium dalam aspek pendidikan.

“Diharap ia dapat menimbulkan kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan muzium dalam mengekalkan budaya dan bangsa selain menjadi wadah melahirkan warga bangsa Malaysia yang bersatu dan dinamik, “katanya.

Program yang berlangsung selama dua hari yang bermula pada Jumaat lepas diisi dengan pelbagai acara menarik seperti aktiviti mencari harta karun dan permainan tradisi.

Turut diadakan acara ‘Trail Tracking’ yang memberi seribu satu pengalaman kepada peserta melalui Taman Etnobotani yang mana sepanjang trail itu, peserta diberi soalan dan pembayang.

Peserta yang terlibat turut berpeluang untuk menginap di rumah-rumah tradisi yang terdapat di muzium itu yang pastinya mampu memberikan pengalaman luar biasa dan unik yang tersendiri.

KAMARLIN (kanan) sedang beramah mesra dengan sebahagian peserta sempena majlis itu.

KAMARLIN (dua kiri) sedang melepaskan salah satu pasukan sebagai gimik perasmianbagi acara yag diadakan pada majlis itu.

SEBAHAGIAN tetamu kehormat yang hadir merakamkan gambar kenangan bersama Kamarlin (tengah) sempena majlis itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.