Masyarakat Sabah kini lebih moden dan berminat dalam bidang seni

Utusan Borneo (Sabah) - - Tempatan - Oleh YAP SIONG HAN

KOTA KINABALU: Masyarakat Sabah kini telah berkembang menjadi komuniti yang lebih moden selain mempunyai minat yang tinggi dalam bidang seni.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, Bandaraya ini adalah sebuah bandar yang cepat berkembang dan kehidupan masyarakatnya juga telah berubah.

“Pada satu ketika dahulu, masyarakat kita hanya berminat untuk melihat lebih banyak kompleks membeli-belah.

“Namun kini, masyarakat kita telah menjadi lebih moden dan pilihan minat mereka adalah ke arah bidang seni,” katanya ketika merasmikan majlis Pameran Keempat Art By The Bay KK 2017 - Eco Art Connects di sini, pada petang Jumaat.

Beliauberkata,masyarakat sini kini mencari sesuatu yang lebih bernilai daripada wang dan mereka juga lebih berminat untuk memelihara alam sekitar.

Bagaimanapun katanya, tidak dinafikan bahawa kawasan perairan di Sabah sejak kebelakangan ini sangat kotor.

“Perkara yang paling mengecewakan adalah terdapat segelintir masyarakat tempatan yang menganggap sungai dan laut itu adalah ‘tong sampah’ mereka.

“Penyelesaian masalah ini terpulang kepada diri sendiri semua pihak, tidak ada orang lain yang boleh mengatasi permasalahan ini untuk kita.

“Kita harus melahirkan generasi yang cintakan persekitaran, dan dalam jangka masa panjang kita boleh menyelesaikan masalah ini. Inilah pencapaian yang ingin dicapai dalam pameran seni ini,” katanya.

Pameran seni itu akan diadakan sehingga 18 September ini bermula dari jam 7 pagi sehingga 8 malam di Segama Waterfront.

MASIDI melihat salah satu hasil seni yang dipamerkan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.