Pelan pembangunan rumah kebajikan, tahfiz di Wilayah Persekutuan dikaji semula

Utusan Borneo (Sabah) - - Nasional -

PUTRAJAYA: Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah mengarahkan supaya pelan pembangunan rumah-rumah kebajikan orang tua dan anak yatim serta sekolah tahfiz di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dikaji semula.

Beliau berkata arahan itu dikeluarkan bagi membolehkan pihak berkuasa tempatan melihat aspek keselamatan semua bangunan terbabit sama ada permohonan pembangunan baharu atau yang sedia ada.

“Saya sudah mengarahkan Datuk Bandar Kuala Lumpur (DBKL) (Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz) dan pegawai-pegawai saya untuk mengkaji semula sekolah tahfiz, rumah orang tua dan anak yatim yang mohon pembangunan,” katanya kepada pemberita pada Kejohanan Bola Baling Terbuka Putrajaya di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan 21 pelajar dan dua guru pada awal pagi Khamis.

Mengenai kebakaran itu, katanya, DBKL telah memberikan lakaran asal premis yang dibenarkan untuk pembangunan premis itu kepada pihak polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

Ketika meninjau pusat tahfiz itu pada Khamis, Tengku Adnan berkata premis itu tidak memenuhi spesifikasi keselamatan selain belum mendapat kelulusan JBPM serta DBKL untuk menjalankanaktivitipengajian tahfiz.

Semasa diminta mengulas kritikan pembangkang terhadap lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Amerika Syarikat, beliau berkata Pakatan Harapan ibarat ‘cacing kepanasan’.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Umno berkata pemimpin pembangkang akan mengkritik setiap pekara yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana mereka tiada isu untuk dibangkitkan.

Tengku Adnan berkata pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Amerika yang dikritik pembangkang juga tidak berasas memandangkan pelaburan di luar negara telah dilakukan sejak sekian lama supaya keuntungan boleh dipulangkan semula kepada pencarum.

“Dana pencen luar negara pun ada melabur di Malaysia seperti Kanada yang jumpa saya untuk melabur di Kuala Lumpur. (Ini) samalah seperti KWSP,” katanya.

Mengenai Kejohanan Bola Baling Terbuka Putrajaya itu, beliau berkata ia berjaya dicatatkan di dalam Malaysia Book of Records sebagai penyertaan bola baling terbanyak yang melibatkan 129 pasukan dengan 1,935 peserta.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.