Jenazah 22 daripada 23 mangsa kebakaran selamat dikebumikan

Utusan Borneo (Sabah) - - Nasional -

KUALA LUMPUR:Pengebumian 22 jenazah daripada 23 mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Datuk Keramat di sini, diselubungi suasana hiba dan pilu waris, kenalan serta serta ribuan orang ramai yang hadir mengiringi perjalanan terakhir mereka pada Jumaat.

Pengebumian bermula kira-kira 6.30 petang Jumaat selepas kesemua jenazah selesai disembahyangkan di surau kuarters Hospital Kuala Lumpur, lalu dibawa ke tanah perkuburan dan selesai sepenuhnya di kesemua sembilan lokasi pusara kira-kira pukul 9.30 malam.

Tumpuan terarah di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda, dekat sini apabila 11 jenazah pelajar dikebumikan secara berperingkat di dalam 11 liang lahad, termasuk jenazah tiga beradik Muhammad Shafiq Haikal Sulaiman 13; Muhammad Hafiz Iskandar 11; dan Muhammad Haris Ikhwan 10.

Jenazah yang lain ialah Muhammad Taufik Hidayat Norazizan, 16; Muhammad Daniel Md Amin, 14; Muhammad Hazim Ahmad Nor, 13; Muhammad Nizammudin Nasron, 13; Ahmad Harith Adam Mohd Nor Hadi, 12; Muhammad Zatullah Roslan, 11; Amiel Asyraaf Abd Rasid, 11; dan Muhammad Aidil Aqmal Mohd Zamzuri,10 tahun.

Kesemua mangsa sepengajian dikebumikan dalam satu barisan panjang dan dengan papan tanda kecil tertera nama masing-masing bagi memudahkan waris dan kenalan mengenal pasti pusara mereka.

Urusan pengebumian kesemua 11 jenazah selesai sekitar 9 malam dalam penuh syahdu diiringi esakan dan linangan air mata anggota keluarga sewaktu menjirus air mawar dan menabur bunga, malah ada antara waris yang pengsan sewaktu jenazah diturunkan ke liang lahad. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.