Pengurusan 23 jenazah lakar sejarah, selesai tiga jam 15 minit

Utusan Borneo (Sabah) - - Nasional -

KUALA LUMPUR: Pengurusan 23 jenazah mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah disempurnakan dalam masa tiga jam 15 minit dan purata masa untuk menguruskan setiap jenazah hanya mengambil masa lebih kurang lapan minit sahaja.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Abdul Aziz Jusoh berkata ia melakar sejarah tersendiri yang secara keseluruhannya, semua mangsa yang dikebumikan di sekitar Lembah Klang termasuk di Seremban, Negeri Sembilan diselesaiakan sebelum pukul 10 malam.

“Jenazah yang dikebumikan di Pengkalan Kubor, Kelantan selamat disemadikan kirakira pada 3 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Abdul Aziz berkata pencapaian itu hasil kerjasama berpasukan serta sokongan padu oleh semua pihak termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta orang perseorangan yang membantu melancarkan lagi urusan pengurusan jenazah berkenaan.

“Jawi yang mengetuai kumpulan pengurusan jenazah mangsa kebakaran semalam mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam membantu menguruskan jenazah-jenazah terbabit,” katanya.

Agensi yang terlibat ialah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Hospital Kuala Lumpur.Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.