Protes antipresiden jejas Honduras

Utusan Borneo (Sabah) - - Global -

TEGUCIGALPA: Polis di Honduras melepaskan gas pemedih mata ke arah lebih 5,000 penyokong pembangkang yang mengadakan tunjuk perasaan menentang Presiden Juan Orlando Hernandez di ibu negara kelmarin, sewaktu sambutan hari kemerdekaan negara.

Penunjuk perasaan terbabit mempamerkan kemarahan mereka terhadap cubaan Hernandez untuk dipilih semula dalam pilihan raya pada 26 November, yang dibenarkan oleh mahkamah agung dua tahun lalu yang menidakkan had satu penggal bagi presiden dalam perlembagaan.

Mereka berarak di belakang sepanduk yang menyebut “pemilihan semula itu adalam satu penipuan”.

Kira-kira 400 anggota polis rusuhan tiba-tiba dikerahkan ke sekitar perarakan, melepaskan gas pemedih mata bertalu-talu ke arah penunjuk perasaan, dengan awal tebal yang memaksa mereka untuk bersurai. Ramai lari, tetapi ada yang baring di atas tanah, tercekek.

Seorang anggota polis memberitahu pemberita bahawa polis cuba melindungi harta persendirian, dan mendakwa penunjuk perasaan memecah tingkap, papan tanda dan tembok.

Manuel Zelaya, seorang bekas presiden yang digulingkan dalam rampasan kuasa pada 2009 apabila dia cuba menganjurkan referendum yang dilihat sebagai satu cubaan untuk menarik balik had sepenggal, menuduh polis meletakkan pengacau yang melontar batu dalam perarakan itu untuk mewajarkan tindakan polis. Partinya adalah antara parti yang mengambil bahagian dalam perarakan.

Protes anti-Hernandez berlangsung di pusat bandar raya, berasingan daripada satu lagi perarakan yang digalakkan oleh kerajaan dan disertai 20,000 orang yang meraikan kemerdekaan Honduras dari Sepanyol pada 1821.

Hernandez, 48, ahli perniagaan didikan Amerika Syarikat, dilihat sebagai calon utama dalam pilihan raya presiden dan memegang kuasa pada 2014.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.