Jangan pandang rendah kolej vokasional, kemahiran: Manyin

Utusan Borneo (Sabah) - - Sarawak -

KUCHING: Ibu bapa diharap tidak memandang rendah sekolah atau kolej kemahiran termasuk kolej vokasional kerana kemahiran mampu menjadi pekerjaan yang menawarkan gaji tinggi pada masa akan datang.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, ibu bapa dan masyarakat harus mengikis stigma bahawa sekolah kemahiran atau kolej vokasional adalah pilihan kedua bagi anak-anak.

“Pada tahun 1960-an, 1970an malah 1980-an, sekolah menengah vokasional adalah bagi mereka yang tidak begitu cemerlang dari segi akademik dan di sinilah stigma itu mula wujud.

“Disebabkan stigma ini, ramai yang tidak sanggup ke sekolah vokasional dan pada masa itu, sekolah menengah vokasional tidak popular berbanding pada masa kini, ia amat diperlukan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Kecemerlangan MySkills dan Inovasi 2017 Kolej Vokasional Kuching yang dihadiri Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional Zainuren Mohd Nor dan Pengarah Kolej Vokasional Ng Fook Yin di Kolej Vokasional Kuching di sini, pada Jumaat.

Manyin berkata, oleh sistem pendidikan di Malaysia hanya menumpukan akademik, kini kedudukan Malaysia dari segi tenaga kerja mahir jauh ketinggalan iaitu hanya tujuh peratus.

Jika dibandingkan dengan negara maju, katanya, Korea Selatan misalnya mencapai 96 peratus, Jerman (80 peratus) malahan China sehingga 54 peratus.

“Namun, dalam jangka masa lima tahun akan datang pasaran kerja yang ada lebih banyak menawarkan kemahiran, tetapi kita hanya ada tujuh peratus tenaga kerja mahir pada masa ini.

“Maka, kita amat memerlukan lebih ramai tenaga kerja mahir yang dilatih dari institusi seperti kolej vokasional dan politeknik serta pusat latihan kemahiran lain dan bukan hanya graduan universiti sahaja,” tegasnya.

Bagaimanapun, Manyin menasihatkan pelatih atau pelajar sama ada kolej vokasional dan pusat latihan lain agar melengkapkan diri mereka dengan kemahiran berkomunikasi terutama bahasa Inggeris.

Jelasnya untuk memiliki sijil, diploma mahupun ijazah sarjana muda dalam kemahiran tidak memadai jika tidak fasih berbahasa Inggeris jika ingin bersaing di peringkat global.

“Ini kerana ada di kalangan graduan atau lepasan sekolah yang mempunyai sijil, diploma atau ijazah sarjana muda tetapi sukar mendapat pekerjaan dalam syarikat antarabangsa kerana tidak fasih berkomunikasi dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Justeru, beliau pelajar atau pelatih termasuk di Kolej Vokasional Kuching membuktikan diri mereka bahawa mereka produktif serta berkebolehan di peringkat global.

“Dengan demikian, ia akan menjadikan kolej vokasional, politeknik dan pusat latihan kemahiran lain pilihan pertama kepada anak-anak kita,” katanya.

Pada majlis itu, Manyin mengumumkan peruntukan RM30,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Vokasional Kuching untuk menjalankan aktiviti dan program mereka.

MANYIN menyampaikan piala dan sijil anugerah kepada pelajar cemerlang Kolej Vokasional Kuching sambil disaksikan Ng (kiri), Zainuren (tiga kiri) dan Yang Dipertua PIBG Kolej Vokasional Kuching Dr Daram Ruer (empat kiri).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.